PETALING JAYA: Badan bebas, First Instance Body (FIB) mengesahkan pihaknya telah menerima dokumen-dokumen berkaitan baki tunggakan gaji musim 2023 melibatkan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Dokumen berkenaan dihantar kelab berkenaan sebelum tarikh akhir diputuskan oleh Pelesenan Kelab MFL,FIB iaitu 20 April.
Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu dokumen yang diberikan KDA FC sebelum mengeluarkan keputusan rasmi berkenaan status kelab tersebut.
“Apa boleh saya sahkan adalah, kita telah menerima dokumen berkenaan menerusi email daripada pasukan KDA FC. Dokumen-dokumen itu akan diteliti terlebih dahulu dan dibawa dalam perbincangan.
“Keputusan rasmi (berkaitan status KDA FC) akan dimaklumkan kepada umum pada minggu ini, Isnin dan ke atas,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Kelmarin, skuad Sang Kenari memaklumkan bahawa telah menyelesaikan tunggakan gaji musim 2023 untuk semua pemain dan pegawainya.
Pembayaran itu merangkumi pasukan utama Liga Super, KDA FC B (Piala MFL – Bawah 23 Tahun), KDA FC C (Piala Presiden – Bawah 20 Tahun) dan KDA FC D.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA, Shahrul Samsudin berkata, kesemua tunggakan termasuk pembayaran kepada staf pentadbiran kelab dilakukan pada 18 April lalu.
Dengan pengesahan dibuat KDA FC itu memberi kelegaan kepada penyokong Sang Kenari, selain memastikan Liga Super akan berlangsung dengan 13 pasukan musim 2024/25.-UTUSAN










