KUALA LUMPUR: Status Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam saingan Liga Super musim depan akan terjawab selepas mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan First Instance Body (FIB) pada 6 Mac ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, KDA FC telah diberi tempoh sehingga 5 Mac ini oleh FIB untuk menyelesaikan masalah gaji tertunggak pasukan selain MFL juga memerlukan maklumat tambahan daripada kelab berkenaan.
Stuart berkata, maklumat tambahan itu bagi membolehkan ahli lembaga pengarah MFL menimbang semua maklumat terbaru tentang kedudukan Sang Kenari dalam mesyuarat yang akan berlangsung pada tarikh berkenaan.
“Saya tidak mahu membuat spekulasi tentang nasib Kedah, tetapi ini sudah sampai ke satu tahap agak serius yang tidak boleh diberikan lanjutan masa lagi kerana kita tahu jumlah bulan (gaji) tidak bayar agak besar.
“Kita perlu lihat kelangsungan liga dan bukannya kelangsungan satu pasukan sahaja dan MFL juga perlukan keluarkan kalender untuk tahu slot tambahan selain slot untuk untuk menggantikan Kelantan FC sahaja.
“Lebih rumit kalau tangguh keputusan (tentang status penyertaan KDA FC dalam Liga Super). Perkara ini, kita sudah berhubung dengan Kedah dan mereka faham kekangan masa bukan melibatkan mereka sahaja.
“Kita (MFL) akan maklumkan kepada media tentang kedudukan Kedah selepas 6 Mac dan maklumat (keputusan) berdasarkan penilaian Ahli Lembaga Pengarah MFL dan FIB yang akan bersidang,” katanya.
Ditanya sama ada juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City (KL City) FC bakal senasib dengan KDA FC, Stuart berkata, apa yang melanda kelab The City Boys itu tidak begitu serius berbanding KDA FC.
“KL City tidak begitu serius dan kita juga sudah dapat maklumat daripada mereka serta perancangan penyelesaian gaji. tetapi, ia juga akan dibawa ke FIB, namun pada masa ini, ia tidak serius,” kata Stuart.
Untuk rekod, Kedah menjadi salah satu pasukan yang berisiko untuk diturunkan ke Liga M3 selepas dibelenggu dengan isu tunggakan gaji dalam saingan Liga Super musim 2023.-UTUSAN










