PETALING JAYA: Ibu bapa atlet yang bernaung dibawah Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA) mempersoalkan tindakan jurulatih, Datuk Ng Joo Ngan yang membuat kenyataan media tanpa terlebih dahulu mengadakan perbincangan bersama mereka.
Wakilnya, Nor Azila Ab Razak berkata pihaknya menafikan dakwaan yang dikeluarkan oleh Joo Ngan malah berkata, kaedah yang digunakan oleh jurulatih itu dalam sesi latihan sudah tidak relevan dan selain membahayakan pelumba.
“Kami tidak menafikan kejayaan yang pernah dilakukan oleh beliau ketika 30, 40 tahun yang lalu bagaimanapun jika mahu dinilai teknik kejurulatihannya kami lihat kaedahnya tidak selari dengan penggunaan teknologi pada zaman sekarang.
“Malah, beliau juga mencampur-adukkan pelumba junior dan elit dalam satu sesi latihan dan akibatnya ada pelumba junior perempuan yang ditinggalkan seorang diri ketika sesi latihan.
“Situasi ini membimbangkan kami sebagai ibu bapa kerana keselamatan anak-anak kami menjadi taruhan,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar, kelmarin.
Sebelum ini, Joo Ngan memberitahu kepada media bahawa beliau berasa terkilan apabila dilabel sebagai rasis dalam pemilihan atlet dan menafikan dakwaan tersebut.
Dalam pada itu, Azila turut berkata pihaknya telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas memberitahu pembahagian elaun kepada atlet tidak dilakukan dengan telus.
“Elaun diberi kepada atlet mengikut perasaan dan culas. Atlet yang beraksi dalam Sukma ada elaun bulanan dan setiap pertandingan semua pelumba Kuala Lumpur diberikan elaun tetapi saya tak dapat nak jelaskan lebih lanjut sebab sudah failkan kepada SPRM,” katanya lagi.
Pihaknya turut berharap Datuk Razlan Razali kembali menerajui memimpin KLCA selepas melepaskan jawatan presidennya pada Rabu lalu.-UTUSAN










