PETALING JAYA: Penyerang skuad hoki kebangsaan, Faizal Saari tetap berada dalam radar Speedy Tigers walaupun tidak menyertai sesi pemilihan kerana sedang beraksi kelab di liga Bangladesh
Ketua jurulatih kebangsaan, Sarjit Singh berkata, pemain berusia 33 tahun itu akan berada dalam senarai akhir 30 daripada 46 pemain yang dipanggil menyertai kem pemilihan pemain hoki negara.
Katanya, Faizal tidak berada dalam sesi pemilihan bermula 19 Mac lalu susulan mempunyai perancangan beraksi di liga Bangladesh bersama pasukan Mohammedan Sporting Club.
“Dia (Faizal) sudah menyusun perancangan selepas Liga Hoki Malaysia (MHL) berakhir. Itulah sebabnya saya tidak boleh mengganggunya. Namun selepas berada di senarai 30 pemain, dia tidak boleh bersama pasukan Bangladesh itu lagi.
“Kualiti yang dimiliki selain menampilkan dengan aksi terbaik ketika diturunkan dalam perlawanan membuatkan semua pasukan kebangsaan mahukan khidmatnya,” kata Sarjit.
Faizal akan kembali ke tanah air pada 10 April ini untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dan akan menyertai latihan Speedy Tigers pada 20 April depan.
Pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu menjaringkan 12 gol dalam enam perlawanan untuk Mohammedan Sporting Club yang kini menduduki tempat kedua di Divisyen Perdana Bangladesh.
Faizal berkata dia berpuas hati dengan prestasinya itu, setelah menjaringkan gol dalam semua perlawanannya dalam Liga Bangladesh.
“Saya mahu menjaringkan sebanyak mungkin gol di Divisyen Perdana. Kami mempunyai baki tiga lagi perlawanan dan saya mahu memastikan kami mengekalkan rekod 100 peratus,” kata Faizal.-UTUSAN










