Malaysia raih kemenangan di Kejohanan Berpasukan Dunia

Skuad ping pong wanita negara tewaskan Cuba 3-0 di Kejohanan Berpasukan Dunia

Alice Chang adalah antara tonggak yang membarisi skuad kebangsaan di Kejohanan Ping Pong Berpasukan Dunia di Busan, Korea Selatan 2024. ( AFP)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad ping pong wanita negara memulakan kempen mereka di Kejohanan Berpasukan Dunia 2024 di Busan, Korea Selatan dengan langkah kanan selepas menumbang Cuba 3-0 hari ini.

Aksi yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvesyen Busan menyaksikan Malaysia menurunkan Alice Chang sebagai wakil pertama tidak berdepan masalah untuk menewaskan Estela Crespo dengan keputusan 11-5, 11-5, 11-7.

Karen Lynn Dick meneruskan momentum tersebut untuk menggandakan kedudukan 2-0 buat kem Malaysia selepas mengatasi Daniela Fonseca Carrazana 11-9, 11-9, 13-11.

Pemain berpengalaman, Ho Ying melengkapkan kemenangan 3-0 untuk Malaysia selepas menewaskan Rosalba Aguiar dengan keputusan 11-8, 11-6, 11-5.

Kemenangan ini meletakkan pasukan wanita negara berada di tangga kedua Kumpulan 5 dengan meraih dua mata, dan bakal membuat perhitungan dengan pendahulu kumpulan, Korea Selatan esok.

Malang buat skuad lelaki apabila gagal untuk melakar kemenangan ke atas Kanada setelah tumpas dengan keputusan 2-3.

Malaysia mendahului 2-0 apabila Wong Qi Shen dan Choong Javen berjaya mengatasi lawan masing-masing sebelum Kanada bangkit untuk menang baki tiga lagi perlawanan selepas itu.

Skuad lelaki negara akan bertemu Singapura pada Ahad untuk aksi kedua Kumpulan 7.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×