PETALING JAYA: Penentuan pasukan mana yang bakal dimahkotakan sebagai juara Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 bakal terjawab hari ini.
Ini selepas tiga pasukan teratas iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), Maybank dan Pasukan Hoki Terengganu (THT) akan turun dalam aksi terakhir MHL 2024.
THT yang sebelum ini dilihat berpotensi mengekalkan kejuaraan mereka terpaksa berputih mata selepas diikat Nurinsafi Sporting 4-4, kelmarin.
Keputusan itu menyaksikan persaingan liga semakin rancak apabila ketiga-tiga pasukan kini berkongsi 23 mata dalam carta MHL 2024.
Bagaimanapun, jumlah jaringan yang besar selepas beberapa kali membelasah lawan memberikan kelebihan buat TNB kendalian Nor Saiful Zaini berada di puncak.
TNB berpeluang untuk menamatkan penantian lebih sedekad untuk kembali menjulang kejuaraan MHL apabila dijadualkan bertemu pasukan tercorot, JM Antsbees.
Sementara itu, THT dan Maybank akan membuat perhitungan sesama mereka dengan hasrat mampu memintas kedudukan TNB, namun perlu menang dengan jumlah gol yang banyak.
Jika TNB menang, kejuaraan bakal menjadi milik mereka, dan ia bakal menjadi trofi kedua mereka musim ini selepas merangkul Piala Sumbangsih pada awal musim ini.
Bagaimanapun, sekiranya TNB keciciran mata dalam aksi terakhir liga itu, THT dan Maybank berpeluang untuk dinobatkan sebagai juara musim ini.-UTUSAN










