HULU TERENGGANU: Rimba Razia yang berkonsepkan ‘petting zoo’ terletak di Kampung Dusun, dekat sini membawa jenamanya ke industri bola sepak Malaysia dengan menaja pasukan Terengganu FC (TFC).
Majlis menandatangani penajaan Terengganu FC 2024/ 2025 berlangsung di Rimba Razia hari ini yang menyaksikan jumlah tajaan keseluruhan termasuk wang tunai dan tiga buah pacuan empat roda bernilai kira-kira RM500,000.
Pengerusi Eksekutif Rimba Razia, Datuk Seri Zakaria Abdul Razak berkata, pihaknya terpanggil menaja TFC bagi menzahirkan sokongan kepada pasukan negeri untuk harungi kancah liga musim baharu nanti.
“TFC pasukan bola sepak pertama yang kita terlibat dari segi penajaan ini. Sebagai peminat tegar sukan ini tentunya kita harapkan pasukan ini lebih berjaya lagi dan merancakkan lagi bola sepak di Terengganu .
“Jumlah penajaan ini keseluruhannya sekitar RM500,000 bagi satu musim ini. Sekiranya segalanya berjalan lancar termasuk promosikan lagi Rimba Razia ini, ada peningkatan mungkin kita akan tambah lagi penajaan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pembukaan Rimba Razia Dusun, Hulu Terengganu dan Majlis Menandatangani Penajaan TFC 2024/ 2025, dekat sini hari ini .
Perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB), Mohd. Sabri Abas berkata, pihak merakam ucapan terima kasih kepada Rimba Razia yang sudi menjadi rakan penaja TFC pada musim baharu ini .
“Penajaan ini tahun pertama berkolaborasi antara Rimba Razia dan TFC. Jumlah wang tunai serta sumbangan tiga buah kenderaan untuk kegunaan tentunya banyak membantu.
“Setakat ini, jumlah penajaan terkumpul sebanyak RM7 juta dalam pelbagai bentuk termasuk kewangan melibatkan 23 penaja. Kita juga masih mencari penaja yang ‘platinum’ dan sebelum mula liga kita akan umumkan nanti penaja terlibat,” ujarnya. – UTUSAN










