KUALA TERENGGANU: Jentera tengah Terengganu FC (TFC) bakal diperkuatkan ketua pasukan kelab Croatia, NK Varazdin, Igor Postonjski bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia (Liga M).
Difahamkan usaha TFC mendapatkan khidmat pemain berusia 29 tahun itu berjalan lancar dengan Postojnska juga sudah berada di Terengganu untuk disahkan sebagai awang import keenam.
Menurut sumber, Postojska menjadi pilihan pengendali skuad Penyu, Tomislav Steinbruckner, untuk membentuk gandingan bersama Nurillo Tukhtasinov dan Akram Mahinan di bahagian tengah.
Katanya, pihak pengurusan skuad TFC telah pun menyerahkan surat kepada kelab NK Varazdin sebelum mendapat ‘lampu hijau’ untuk mengemukakan kontrak kepada Postojska.
‘Selain beliau (Postojski), seorang lagi pemain Croatia juga berada dalam senarai pendek untuk dibawa masuk ke skuad Penyu namun Postojnska yang menjadi pilihan utama barisan kejurulatihan.
“Perbincangan bersama pemain itu sudah di fasa akhir dan jika tiada halangan akan disahkan sebagai tonggak baharu TFC dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Dalam saingan Liga Croatia musim ini, Postonjski selaku kapten membuat 19 penampilan dan menjaringkan enam gol buat NK Varazdin yang menduduki tempat kelapan.
Kehadirannya akan melengkapkan senarai awang import TFC selepas Argzim Redzovic (Montenegro), Matthew Steenvoorden (Belanda), Nurillo Tukhtasinov (Uzbekistan), Ivan Mamut (Croatia) dan Ismaheel Akinade (Nigeria).-UTUSAN










