MHL 2024: TNB tidak boleh cicir mata

MHL 2024: TNB tidak boleh cicir mata

TNB tidak boleh tewas dalam baki dua perlawanan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 sekiranya berhajat untuk bergelar juara musim ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak boleh keciciran sebarang mata menuju baki dua lagi perlawanan terakhir dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 seandainya mahu bergelar juara.

Ketika ini, Maybank memintas TNB sebagai pendahulu liga dengan 23 mata, disusuli Pasukan Hoki Terengganu (THT) dengan 22 mata, Nurinsafi Sporting di tempat ketiga, manakala TNB berada di tangga keempat dengan 20 mata.

Bagaimanapun anak buah Nor Saiful Zaini masih kekurangan satu perlawanan dan dijangka akan mengambil alih semula carta liga apabila bakal turun menentang pasukan UiTM HA-KPT di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil petang ini.

Perlawanan terakhir mereka adalah pada Selasa depan menentang JM Antsbees, namun kejuaraan liga akan ditentukan menerusi keputusan perlawanan Maybank menentang THT pada hari yang sama.

Justeru TNB tiada pilihan lain dengan terus berusaha mencipta kemenangan, dan dalam masa yang sama mengharapkan pertembungan Maybank dan THT berkesudahan dengan seri.

“Saya tidak meletakkan sebarang harapan besar, kerana kejuaraan liga akan ditentukan oleh Maybank dan THT. 

“Kelebihan yang kita miliki ketika ini adalah dari segi jumlah jaringan (65 gol) dan selebihnya kita perlu menang baki dua perlawanan dan mengharapkan perlawanan Maybank dan THT akan berpihak kepada kami.

“Kita beraksi kurang baik ketika perlawanan pertama liga, kerana ketika itu ramai pemain baru pulang dari tugasan kebangsaan dan belum serasi. Tetapi itulah implikasinya yang kita kena hadapi ketika ini,” jelas Saiful kepada Utusan Malaysia.

Kali terakhir TNB bergelar juara liga adalah 11 tahun lalu ketika edisi 2003.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN