KUALA LUMPUR: Kebajikan dan kesihatan pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong menjadi keutamaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berbanding perkara-perkara lain termasuk mengejar slot ke Sukan Olimpik di Paris, Julai depan.
Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menegaskan, pihaknya enggan memudaratkan kecederaan pemain berusia 23 tahun itu dan pendekatan berhati-hati diambil BAM dengan mengambil kita nasihat yang diberi oleh Institut Sukan Negara (ISN)
“Kita meletakkan kesihatan Tze Yong lebih penting daripada kelayakan tersebut (Sukan Olimpik) sebab kita tidak mahu sekiranya kita membenarkan dia bertanding, ia hanya akan menyebabkan kecederaan berkekalan atau kecederaan yang susah untuk kita rawat.
“Kita perlu menilai nasihat daripada laporan perubatan Tze Yong dan kita berharap dapat melaksanakan yang terbaik untuk dia, di BAM sentiasa meletakkan kebajikan dan kesihatan atlet itu melebihi daripada perkara-perkara lain,” kata Norza.

Tze Yong disahkan ditimpa kecederaan otot belakang sewaktu beraksi dalam pusingan pertama Terbuka Malaysia, awal bulan lalu dan masalah tersebut semakin serius sewaktu dia menyertai skuad kebangsaan pada Kejohanan Berpasukan Asia (BATC), minggu lepas.
Kecederaan yang melanda pemain No. 15 dunia itu sedikit sebanyak menjejaskan peluangnya untuk mengejar slot ke Sukan Olimpik yang meletakkan kelompok 16 terbaik sebagai syarat dengan tarikh akhir kelayakan ialah pada penghujung April depan.
Norza yang juga Presiden MOM berkata, semua sudah sedia maklum kecederaan yang dialami Tze Yong agak serius dan berharap sokongan penuh yang diberi ISN serta barisan kejurulatihan mampu merencanakan proses pemulihan pemain itu.
“Kita harus melihat secara terperinci sama ada dia boleh meneruskan kelayakan atau pun tidak, kita tidak mahu paksa dia kalau dia berasakan dia tidak bersedia,” ujarnya.
Mengulas mengenai tempoh yang diperlukan Tze Yong untuk pulih sepenuhnya, menurut Norza, pihaknya masih tidak mengetahui jangka waktu pemain itu perlu berehat dan penilaian masih lagi dibuat sejauh mana keseriusan kecederaan tersebut.-UTUSAN










