PETALING JAYA: Atlet berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menambah satu lagi koleksi pingat dalam saingan Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 New Delhi dengan meraih pingat emas acara ujian masa 500 meter (m) sebentar tadi.
Izzah melakar masa 34.388 saat untuk dinobatkan sebagai juara menewaskan pelumba Korea Selatan, Hwang Hyeon-Seo yang sekadar mencatat 34.802s.
Pingat gangsa milik pelumba China, Luo Shuyan yang mencatat masa 34.958s.
Kemenangan ini menebus kekecewaan Izzah tahun lalu apabila akur meraih pingat perak dalam acara ini.
Terdahulu, Izzah telah pun meraih pingat emas dalam acara keirin serta pingat perak acara pecut berpasukan serta pingat gangsa dalam saingan pecut individu.
Sementara itu, dalam aksi membabbitkan acara ujian masa 1 kilometer (km), Ridhwan Sahrom berputih mata untuk meraih pingat apabila tewas tipis untuk untuk berada di tangga keempat keseluruhan.
Ridwan yang dipertaruhkan menggantikan penyandang juara tahun lalu, Muhammad Fadhil Zonis yang mengalami jangkitan melakar masa 1:02.452s.
Emas milik pelumba China, Li Zhiwei yang melakar masa 1:00.875s, manakala perak milik pelumba Jepun, Minato Nakaishi dengan catatan 1:02.101s.
Pingat gangsa pula menjadi milik Kirill Kurdidi dari Kazakhstan dengan catatan 1:02.406s.










