PETALING JAYA: Penggunaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) bagi saingan Liga Malaysia musim 2024/2025 hanya memerlukan kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S. Sivasundaram berkata. badan induk bola sepak antarabangsa akan datang untuk melakukan pemeriksaan, selain turut menguji keupayaan teknologi itu sebelum boleh digunakan.
“FAM akan menjemput delegasi dari FIFA untuk tujuan pemantauan, penilaian dan mendapatkan pengiktirafan terhadap sistem yang kita gunakan ketika ini.
“FIFA akan membuat ujian daripada segala aspek seperti daripada teknologinya, pengujian di atas padang, pemerhatian untuk pengadil yang mengendalikan sistem terbabit serta ujian untuk perlawanan secara langsung.
“Ujian ini perlu diadakan untuk kita mendapat kelulusan daripada FIFA dan selepas dapat kelulusan, barulah VAR sedia (untuk digunakan). Kemungkinan besar kita akan dapat kelulusan daripada FIFA,” katanya pada sidang media mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ke-10 Bagi penggal 2021-2025, di Wisma FAM semalam.
Seramai 21 pengadil, 20 pembantu pengadil dan sembilan pengadil ‘replay’ sudah selesai menjalani latihan VAR yang diiktiraf FIFA.
Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan teknologi VAR akan digunakan sepenuhnya dalam saingan Liga M 2024/25 yang dijadualkan bermula Mei ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata penggunaan teknologi terbabit akan menelan kos RM9.7 juta yang merangkumi kos penyediaan bagi tahun pertama.
Stuart menjelaskan badan pengelola liga itu akan menggunakan trak bergerak untuk operasi VAR yang akan diletakkan di stadium pada hari perlawanan.-UTUSAN
KAPSYEN: PENGERUSI Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S. Sivasundaram (empat dari kiri) meninjau persediaan pengadil untuk menggunakan VAR dalam Liga Malaysia musim 2024/2025.










