Shah Firdaus tetap berlumba di Australia

Shah Firdaus tetap berlumba di Australia

SHAH Firdaus Sahrom menjadi snadaran utama Malaysia di ACC 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Meskipun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, atlet berbasikal negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom tetap menyertai saingan Piala Negara-Negara di Adelaide, Australia bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Pelumba berusia 28 tahun itu, mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan ketika menjalani latihan di Velodrome Nasional, Nilai, baru-baru ini.

Shah Firdaus bakal mengharungi perlumbaan berkenaan bersama-sama Datuk Azizulhasni Awang bagi memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pemangku Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, menerusi perbincangan dengan Pengarah Teknikal PKBM, John Beasley, mereka sepakat yang Shah Firdaus akan ke kejohanan itu.

“Dia mengalami luka-luka tetapi nasib baik tak patah tetapi selepas berbincang dengan John, John kata dia masih bercadang membawa Shah ke Adelaide untuk Piala Negara-Negara tetapi mungkin prestasinya tidak akan begitu baik, tidak 100 peratus.

“Namun adalah penting untuk membawa Shah Firdaus ke sana dan kita pun tengah cuba melakukan yang terbaik untuknya, Azizul pun ada di sana nanti,” katanya.

Tambah Amarjit, berkata selepas kejohanan di Australia, Shah Firdaus akan menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Asia di New Delhi dari 21 hingga 26 Februari nanti, selain beberapa kejohanan lain lagi.

“Namun saya percaya bahawa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia nanti, Shah Firdaus akan kembali di tahap prestasi terbaiknya. Walaupun mengalami kecederaan, dia sepatutnya sudah dapat kembali pulih sepenuhnya (pada ketika itu di New Delhi).

“Di New Delhi, itu juga kejohanan kelayakan tetapi selepas berbincang dengan pasukan, dia percaya dalam tempoh tiga minggu lagi, Shah Firdaus boleh kembali pulih. Selepas itu, pada Mac, ada Piala Negara-Negara di Hong Kong (15-17 Mac) dan kemudian di Milton, Kanada (juga Piala Negara-Negara pada 12-14 April).

“Jadi kita pastinya perlu mengambil kesempatan yang ada untuk menyertai semua Piala Negara-Negara supaya kita berada di kedudukan yang sepatutnya (ke Paris 2024),” ujar Amarjit.

Tempoh kelayakan Paris 2024 bagi sukan berbasikal trek bermula sejak 19 Julai lalu sehingga 14 April ini.

Terdahulu, Shah Firdaus yang dikenali sebagai ‘The Terminator Shah’ itu terbabit dalam satu kemalangan berkelajuan tinggi selepas tayar basikalnya meletup ketika memecut untuk mengejar motosikal di hadapannya, insiden yang sama seperti dilalui Azizulhasni sebelum Sukan Asia Hangzhou, tahun lalu.

Akibat daripada kemalangan itu, atlet berusia 28 tahun berkenaan mengalami kecederaan di bahagian bahu kirinya, luka di keseluruhan bahagian paha dan bengkak di buku lali menyebabkan beliau tidak mampu untuk berjalan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya