PETALING JAYA: Kapten skuad Harimau Malaya, Matthew Davies mengakui gol awal Jordan ‘membunuh’ momentum pasukan ketika tewas 0-4 pada aksi pertama Kumpulan E Piala Asia di Stadium Al Janoub, awal pagi semalam.
Jelasnya, gol pertama lawan yang diraih menerusi sepakan lencongan menarik Mahmoud Al-Mardi seawal minit ke-12 merencat perancangan pasukan.
“Gol awal itu ‘membunuh’ pasukan dan kami sebenarnya boleh memperagakan permainan lebih baik lagi.
“Bukan hanya keputusan, tapi mutu persembahan turut mengecewakan kami. Kami agak terlalu agresif dalam memberi tekanan di atas.
“Sukar untuk melihatnya di atas padang dan kami akan menganalisisnya, kemudian lihat apa yang boleh dilakukan,” katanya selepas aksi itu.
Dalam aksi itu, Jordan mendahului tiga gol pada separuh masa pertama menerusi jaringan Al-Mardi sebelum Mousa Al-Taamari menambah gol kedua di minit ke-18 menerusi sepakan penalti selepas Matthew mengasari pemain lawan.
Al-Mardi yang pernah menabur bakti di Kedah pada musim 2022 menambah gol ketiga (m-32) dan kemenangan bergaya Jordan ditutup menerusi ledakan Al-Taamari lima minit sebelum masa sebenar permainan berakhir.
“Kami akan menghadapi perlawanan seterusnya (menentang Bahrain) dalam lima hari lagi. Kami perlu bangkit untuk memburu keputusan positif,” tambah Davies.
Malaysia akan menentang Bahrain pada Sabtu ini sebelum bertemu Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E, 25 Januari. – UTUSAN