PETALING JAYA: Silap percaturan, gugup dan penyakit dibolosi gol pantas antara faktor utama Harimau Malaya tewas kepada Jordan pada aksi pertama Kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, semalam.
Dua gol awal dalam masa lapan minit jelas menunjukkan kelemahan ketara skuad kebangsaan yang sebelum ini turut mengalami perkara sama ketika perlawanan persahabatan menentang Syria sebelum ini.
Kekalahan sudah berlaku, semua pihak bersetuju skuad kebangsaan tidak beraksi di tahap sebenar dan formasi pemain jadi persoalan sekali gus gagal menamatkan badi tanpa kemenangan dalam perlawanan pertama.
Enggan memandang ke belakang, pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon masih menaruh keyakinan anak buahnya mampu mampamerkan kebangkitan berdepan Bahrain, Sabtu ini.
“Kami perlu bangkit dengan cepat daripada kekalahan ini untuk menghadapi baki dua perlawanan. Sepatutnya semua orang kecewa tetapi kita tidak boleh berputus asa dan berundur,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan, semalam.
Dalam aksi itu, daripada empat gol diperolehi Jordan dua gol masing-masing diledak Mahmoud Al-Mardi pada minit ke-12, 32 dan Musa Al-Taamari (m-18,85).
Untuk rekod, sepanjang tiga edisi Malaysia beraksi di Piala Asia, skuad Harimau Malaya tidak pernah menang pada aksi pertama iaitu pada 1976 tewas 2-0 kepada Kuwait, seri 1-1 dengan Korea Selatan (1980) dan tewas 5-1 di tangan China (2007).
Pan Gon dijangka merombak kesebelasan utama menjelang aksi berdepan Bahrain, Sabtu ini dan turut menaruh harapan peluang ke peringkat kalah mati masih terbuka meskipun sukar. – UTUSAN