LONDON: Kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadi rebutan Liverpool dan Arsenal sebelum perayaan Krismas ini.
Pertarungan kedua-dua kelab yang berlangsung di Anfield awal pagi esok, bakal menjadi tumpuan utama EPL tahun ini dan mereka masing-masing berpeluang untuk menjarakkan kedudukan dengan juara bertahan Manchester City.
Bagaimanapun, seandainya perlawanan berakhir seri di Anfield, pasukan tangga ketiga Aston Villa mungkin berada di puncak buat kali pertama sejak tahun 1999 jika persembahan mengagumkan mereka di laman sendiri berterusan menentang kelab tercorot Sheffield United.
Selain aksi tumpuan itu, saingan turut menampilkan kunjungan Manchester United ke West Ham manakala Everton yang bertindak cemerlang ketika ini bertandang ke kelab tangga kelima Tottenham.
Arsenal menghuni tangga teratas EPL dengan 39 mata daripada 17 perlawanan, satu mata di depan Liverpool (38) dan lima ke atas Manchester City (34).
Jika The Gunners menang di Anfield, anak buah Pep Guardiola yang kini di tangga keempat, akan ketinggalan lapan mata sebelum menentang Everton pada 27 Disember ini.
Pengendali Reds, Jurgen Klopp memohon penyokong-penyokong Liverpool memberi sorakan padu sepanjang 90 minit perlawanan.
“Kami perlukan Anfield membuat bising sejak saat pertama, tanpa perlu saya bertelagah dengan jurulatih lawan.
“Jika terlalu banyak aksi bola sepak pada bulan Disember dan anda (penyokong) tidak berada pada tahap terbaik, berikanlah tiket anda kepada orang lain untuk memberi sokongan kepada Liverpool,” kata Klopp selepas pasukannya mara ke separuh akhir Piala Liga apabila membelasah West Ham 5-1. – AGENSI/UTUSAN