ANFILED: Skuad kendalian Jurgen Klopp garang di laman sendiri apabila membelasah kelab Austria, Linzer Athletik Sport-Klub (LASK) dengan keputusan 4-0 dalam aksi Kumpulan E Liga Europa yang berlangsung awal pagi tadi.
Pesta gol Liverpool bermula pada minit ke 12 apabila Luis Diaz menanduk masuk bola hasil hantaran pemain pertahanan, Joe Gomez.
Gol tersebut menyemarakkan lagi semangat para pemain Liverpool, dan mereka menggandakan jaringan tiga minit kemudian apabila gandingan Diaz dan Mohamed Salah membuka ruang buat Cody Gakpo untuk menampan bola ke gawang LASK bagi menjadikan kedudukan 2-0.
Liverpool langsung tidak mengendurkan asakan mereka di separuh masa kedua, dan berpunca daripada satu gerakan oleh Gakpo, penjaga gol LASK, Tobias Lawal mengasarinya dalam kotak penalti, sekaligus peluang besar untuk Reds menambah jaringan.
Salah yang diberikan tugasan itu tidak menghadapi masalah untuk menyumbat bola ke gawang, menjadikan Liverpool semakin selesa mendahului 3-0 pada minit ke 51.
Tatkala perlawanan seakan-akan tamat dengan keputusan itu, Gakpo menambah derita LASK dengan gol keempat Liverpool pada masa tambahan setelah berjaya melepaskan diri daripada kawalan pertahanan lawan.
Liverpool kini mengumpul 12 mata dalam Kumpulan E sekaligus mengesahkan kemaraan mereka ke pusingan 16 terbaik, biarpun masih lagi berbaki satu lagi perlawanan menentang Union Saint-Gillois dalam peringkat kumpulan pada 15 Disember depan.