PETALING JAYA: Pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) negara Juan Torres Garrido mahu menggunakan sepenuhnya perlawanan persahabatan di China bagi mencari kelemahan dan kekuatan dimiliki pasukan bimbingannya.
Torres, juga tidak menolak aksi menentang pasukan China B-23 mungkin akan mendedahkan segala kelemahan skuadnya sekali gus membolehkan dia dan barisan kejurulatihan memperbaiki kekurangan itu sebelum mengharungi perlawanan Piala B-23 pada April tahun depan.
Beliau berkata, skuad muda negara itu sebelum ini lebih banyak beradu kekuatan dengan pasukan tempatan dan Asia Tenggara saja sekali gus kurang pendedahan melibatkan lawan di peringkat Asia.
“Saya fikir China salah satu pasukan yang boleh membantu kami menunjukkan di mana tahap kami sekarang. Kami tiada skuad yang lengkap, tetapi ia akan menjadi ujian terbaik sebagai persiapan untuk ke Piala Asia B-23.
“Penting untuk kami berdepan pasukan antarabangsa di luar Asia Tenggara selepas beberapa tahun sebelum ini kita banyak berdepan pasukan dari rantau ini.
“Jadi, corak permainan (pasukan luar Asia Tenggara) pasti berbeza dan kita perlu sesuaikan diri,” katanya.
Aksi persahabatan dengan China B-23 itu sebahagian daripada rangka persiapan Harimau Malaysia B-23 untuk mengharungi kempen Piala Asia B-23 di Qatar, April depan.
Selain itu, Garrido turut memperjelaskan mengapa beberapa pemain muda yang lain tidak dapat menyertai skuadnya untuk kem latihan pusat kali ini.
Jelasnya, antara yang tidak menyertai perlawanan persahabatan terbabit adalah pemain Terengganu Ubaidullah Shamsul Fazili yang kini berehat selepas mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) ketika final Piala Malaysia 2023, 8 Disember lepas.
Pengendali dari Sepanyol itu berkata pemain berusia 20 tahun tersebut adalah tonggak pasukannya selain menampilkan aksi cemerlang sepanjang musim ini.
“Kami masih menaruh harapan supaya Ubaidullah sempat pulih sebelum April depan kerana dia antara tonggak utama di bahagian pertahanan skuad B-23,” ujarnya. – UTUSAN