PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjadi antara individu penting di peringkat antarabangsa selepas menyertai Mesyuarat Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang ke-26 di Jeddah, Arab Saudi, semalam.
Hamidin yang juga ahli majlis FIFA berkata, mesyuarat tersebut seiring dengan perlawanan Piala Dunia Kelab FIFA 2023 yang turut berlangsung di Jeddah.
“Mesyuarat ahli majlis berlangsung dengan sangat efektif dan produktif yang mana kita memutuskan perkara penting dalam bola sepak belia dan juga rangka kerja latihan bola sepak pembangunan wanita,” katanya selepas mesyuarat yang dipengerusikan Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Antara perkara penting lain yang diputuskan ahli majlis semalam ialah mengesahkan Piala Dunia Kelab FIFA ini akan dikenali sebagai Mundial de Clubes Fifa.
Perlawanan itu bakal menampilkan kelab dari setiap enam konfederasi iaitu Afrika, Asia, Eropah, Amerika Utara dan Tengah, Caribbean, Amerika Selatan serta Oceania.
Perubahan ini bermula secara efektif pada 2025 yang menyaksikan Amerika Syarikat sebagai tuan rumah.
Selain itu, ahli majlis juga memutuskan Chile akan menjadi tuan rumah untuk Piala Dunia bawah 20 (B-20) 2025 manakala Poland akan menjadi tuan rumah untuk Piala Dunia Wanita B-20 2026.