PETALING JAYA: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi mendedahkan sebanyak 29 kejohanan telah dipersiapkan jurulatihnya di Amerika Syarikat (AS) bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Azeem yang kini memegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) pecut dengan masa 10.09 saat (s) perlu melepasi catatan bawah 10.00s sebelum tamat tarikh kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berakhir pada 30 Jun tahun hadapan.
Bagi Azeem, 29 kejohanan dalam tempoh tujuh bulan bukanlah sesuatu yang membebankan buat dirinya memandangkan ia adalah jumlah yang normal dalam usaha memburu tempat secara merit ke Paris.
“Setelah saya dan pihak pasukan membuat perkiraan, kemungkinan saya akan menyertai sebanyak 29 kejohanan sehingga Sukan Olimpik 2024.
“Saya boleh katakan ini jumlah kejohanan ini adalah normal, jadi saya tidak rasa ia akan menjadi satu masalah buat saya. Harapan saya, dalam 29 perlumbaan itu, kami akan cuba memecahkan rekod larian bawah 10s,” jelas Azeem kepada Utusan Malaysia.
Begitupun, Azeem yang kini menuntut di Universiti Auburn, Texas akan memulakan musim 2024 dengan menyertai kejohanan olahraga dalam dewan terlebih dahulu, bermula 29 Januari depan di Arkansas.
Atlet berusia 19 tahun itu juga merupakan pemegang rekod kebangsaan acara pecut 60m lari dalam dewan, dengan catatan 6.62s yang dilakarnya Februari lalu, sekali gus memecahkan rekod yang dipegang Watson Nyambek sebelum ini, iaitu 6.66s ketika Kejohanan Dunia 1999.
“Untuk awal tahun hadapan, sasaran kami adalah musim baru kejohanan dalam dewan di AS. Saya letakkan sasaran untuk berlari di bawah 6.60s, dan kalau saya berjaya melakukannya, saya rasa saya sudah 90 peratus bersedia untuk berlari bawah 10s.
“Sebab kalau saya boleh berlari di bawah 6.60s untuk 60m, ia ibarat saya boleh berlari 9.99s untuk acara 100m, dan saya akan cuba membuat sehabis baik layak ke Sukan Olimpik Paris,” tambahnya. – UTUSAN










