PETALING JAYA: Pemain pertahanan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Ubaidullah Shamsul Fazili berkata, kehadiran pemain kacukan Richard Chin akan mewujudkan persaingan sihat untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Pemain Terengganu FC itu berkata, dia juga tidak melihat kehadiran Richard sebagai satu masalah kerana baginya, pemain lain boleh melihat dan mengadaptasikan corak permainan pemain yang berkelana di England itu.
“Kehadiran Richard memberi persaingan yang baik yang mana ia akan mewujudkan persaingan sihat di antara pemain. Kita juga tahu posisi beliau juga ada Azam Azmi Murad, jadi saya rasa beliau dapat ‘improve’ kita dan kita juga dapat ‘improve’ beliau.
“Kita akan bersama-sama untuk memastikan pasukan ini lebih kuat untuk kejohanan yang akan disertai. Jadi, tiada masalah untuk kami bermain secara berpasukan,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam.
Skuad B-23 kendalian Juan Torres Garrido menjalani kem latihan pusat bermula sejak 13 November lalu bagi mempersiapkan pasukan menjelang kempen Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung pada April 2024.
Dalam pada itu, Ubaidullah turut memberitahu bahawa beliau tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan taktikal yang diterapkan oleh Garrido kerana coraknya hampir sama dengan taktikal di kelabnya Terengganu FC.
“Tiada beza banyak cuma sedikit sahaja. Mungkin dari segi posisi pemain dan konsep-konsep yang diterapkan lebih kepada ‘ball position’, jadi saya rasa tiada masalah untuk kita menyesuaikan diri dengan taktikal ini lebih cepat,” katanya.
Sementara itu, Ubaidullah yang merupakan seorang pemain serba boleh memberitahu beliau tiada masalah untuk bermain di mana-mana posisi, namun jika diberikan pilihan beliau lebih memilih untuk bermain di posisi pertahanan tengah.
“Saya lebih selesa di pertahanan tengah kerana itu adalah posisi utama saya tapi sebagai seorang pemain kita tidak boleh bermain di satu posisi sahaja kerana kita perlu variasikan lagi untuk dapatkan peluang bermain terutamanya di skuad senior,” ujarnya.-UTUSAN