PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mencadangkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menggunakan promosi harga tiket rahmah bagi menarik kehadiran penyokong untuk aksi bertemu Kyrgyzstan bagi kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), khamis ini.
SNBJ dipilih untuk menjadi venue bagi perlawanan itu memandangkan stadium itu merupakan gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya biarpun berdepan isu permukaan rumput ketika penganjuran Pesta Bola Merdeka bulan lalu.
Begitupun jualan tiket untuk aksi Khamis ini sangat mendukacitakan apabila hanya mampu terjual sebanyak 5,944 sahaja sehingga artikel ini dikarang.
FAM telah menetapkan harga harga tiket sebanyak RM60 bagi kategori Tempat Duduk Utama (Grandstand), RM80 (Premium), RM40 (Terbuka) dan RM5 untuk kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun.
Justeru Hannah merasakan pengurangan harga tiket menerusi promosi tiket rahmah mampu mengatasi masalah ini tatkala FAM masih mempunyai tempoh lebih kurang 36 jam sebelum sepak mula berlangsung.
“FAM sudah buat keputusan untuk guna Stadium Nasional Bukit Jalil tetapi hal ini bukan saja mengenai rumput tetapi persekitarannya kerana Harimau Malaya akan terima sokongan padu. Itu sebabnya sekarang apa yang diperlukan adalah penyokong beli tiket untuk bersama pasukan.
“Saya juga melihat komen yang meminta tiket Rahmah supaya lebih ramai beli dan saya pun sudah sampaikan kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. Sekarang saya sedang menunggu maklum balas daripada FAM.
“Sebaiknya boleh (harga Rahmah) untuk kita perbanyakan lagi jualan tiket supaya Harimau Malaya dapat dengar sokongan padu,” kata Hannah ketika ditemui pemberita selepas merasmikanPersidangan Wanita Dalam Sukan ASEAN 2023 di Subang Jaya, hari ini.