Abu Samah berkorban segalanya untuk basikal

Abu Samah berkorban segalanya untuk basikal

KELUARGA Allahyarham Abu Samah Abd Wahab menyiram air mawar di pusara beliau di Tanah Perkuburan Islam Kampung Semabok, Melaka, semalam. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemergian Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Allahyarham Datuk Abu Samah Abd Wahab merupakan kehilangan besar buat dunia sukan negara, lebih-lebih lagi kepada sukan berbasikal negara.

Abu Samah, 82, meninggal dunia di Hospital Mahkota Melaka pada pukul 7 malam, kelmarin selepas setahun menghidap kanser prostat tahap empat, keadaan kesihatan Allahyarham semakin merosot sejak dua minggu lepas sebelum dimasukkan ke hospital.

Abu Samah memegang jawatan sebagai Presiden PKBM sejak 1990 dan melakar sejarah baharu dalam arena sukan tanah air apabila menerima Anugerah Merit Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) pada Mei lalu.

Kejayaan itu menjadikan beliau sebagai tokoh sukan pertama di negara ini yang menerima Anugerah Merit daripada badan induk dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dan ACF.

Semalam, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Semabok di Melaka kira-kira pukul 11.30 pagi dan beliau meninggalkan isteri, Datin Halimah Ali, 82, tujuh anak dan 19 orang cucu.

Hampir 800 ahli keluarga, sahabat seperjuangan, wakil Kementerian Belia dan Sukan (KBS), atlet lumba basikal dan orang kampung hadir mengiringi jenazah dari rumahnya di Jalan Semabok ke tanah perkuburan.

Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, negara kehilangan permata dalam pimpinan sukan yang mengharumkan nama negara dalam sukan berkenaan.

Katanya, ramai atlet bertaraf dunia dihasilkan menerusi kepemimpinannya selepas dilantik sebagai presiden PKBM hampir 33 tahun untuk membangun dan memartabatkan sukan berkenaan.

Menurut Nur Azmi, pelbagai jasa yang ditaburkan Allahyarham yang sukar dicari ganti menerusi rentetan kejayaan diraih dalam sukan berbasikal menerusi corak kepemimpinannya yang cemerlang.

“Takziah daripada MOM yang diterajui presiden, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria dan apa yang kami harapkan penggantinya akan meneruskan kesinambungan pimpinan cemerlangnya serta terus ke arah yang lebih baik.

“Kita harapkan impian Allahyarham untuk rakyat melihat negara mampu meraih emas di Olimpik bakal menjadi kenyataan menerusi Datuk Azizulhasni Awang mahupun atlet lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya