PETALING JAYA: Selepas tewas 2-4 kepada wakil Thailand, Buriram United semalam, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) menghidupkan semula peluang untuk ke separuh akhir Piala Supermokh 2023 apabila menumpaskan AMD Future 3-1 dalam aksi kedua peringkat kumpulan kategori bawah 14 tahun di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Gambang, Pahang hari ini.
Skuad bimbingan Nik Juhaisham Tarmizi itu kini perlu mengalahkan pasukan dari Slovakia, Spartak Trnava dalam aksi ketiga kumpulan esok untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir.
“Walaupun kalah kepada Buriram United semalam tetapi pemain bangkit membuktikan kemampuan dengan kemenangan 3-1 mengatasi AMD Future.
“Kami memperbaiki corak permainan hari ini, dan untuk perlawanan seterusnya berdepan Spartak Trnava kita akan cuba sehabis baik (menang) untuk layak ke separuh akhir,” kata Nik Juhaisham.
Tambahnya, bukan tugas mudah berdepan Spartak Trnava dan banyak perkara perlu dilakukan khususnya di bahagian tengah pasukan.
“Kita kena lebih menguasai bahagian tengah, saya lihat aksi hari ini pemain tengah lebih banyak melihat lawan mengawal bola dan mengatur serangan.
“Kemenangan hari ini memastikan pasukan meraih tiga mata dan mata penuh diraih esok akan mengesahkan kemaraan pasukan ke peringkat separuh akhir,” katanya.
Sementara itu, pengendali AMD Future, Mustaffa kamal Abdul Wahab mengakui pasukannya perlu berkerja keras pada aksi terakhir berdepan Buriram United untuk layak ke pusingan seterusnya.
“Bagi saya perlawanan kedua hari ini lebih kepada pendedahan dan beri ruang kepada pemain muda dan dengan keputusan ini kami perlu bergantung kepada keputusan pasukan lain untuk perlawanan terakhir.
“Memang kita akui keputusan ini menyukarkan sedikit laluan, tetapi saya yakin pemain akan bekerja keras esok untuk meraih kemenangan,” jelasnya.
Bagi kategori bawah 12 tahun pula, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah membenam cabaran pasukan dari Filipina, Apuesto Bueno FC dengan kemenangan 12-0 pada aksi dalam Kumpulan B. – UTUSAN ONLINE