PETALING JAYA: Pemain tengah Selangor, Mukhairi Ajmal Mahadi mahu menggunakan kesempatan beraksi di Pestabola Merdeka 2023 untuk membuktikan kepada Kim Pan Gon dia layak berada dalam skuad ke Piala Asia 2023.
Mukhairi berkata, segala keputusan terletak di tangan barisan kejurulatihan dan tugasnya ketika ini ialah memberikan komitmen 100 peratus dan mempamerkan aksi terbaik sekiranya diberikan peluang turun beraksi untuk Harimau Malaya di Pestabola Merdeka.
“Saya perlu menunjukkan kemampuan dalam setiap perlawanan terlebih dahulu. Semuanya (skuad Piala Asia) terpulang kepada jurulatih, dan saya akan beri yang terbaik untuk diri saya serta pasukan sekiranya diberi peluang untuk ke kejohanan itu.
“Tetapi saya harus buat yang terbaik dahulu di sini untuk tunjukkan bahawa saya layak ke Piala Asia 2023 dan sasaran peribadi, saya harap dapat julang piala bersama skuad senior kebangsaan,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Sementara itu, Mukhairi mengakui bangga dan gembira kerana terlibat dalam dua pasukan kebangsaan yang layak ke Piala Asia tahun hadapan tetapi fokusnya sekarang hanya mahu membuktikan kemampuan dirinya kepada barisan kejurulatihan.
“Sesi latihan berjalan dengan baik dan kami dapat adaptasi dengan intensiti yang dikehendaki kerana dalam pasukan ini, semua pemain adalah berkualiti dan sentiasa menyokong satu sama lain.
“Saya rasa bangga kedua-dua pasukan layak ke Piala Asia dan bertuah dapat bermain dalam kedua-dua pasukan,” katanya.