LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan Brighton dilatih oleh jurulatih terbaik, dan memberi amaran kepada pasukannya agar tidak ‘kelihatan bodoh’ di Stadium Amex untuk musim kedua berturut-turut.
Klopp berkata, Reds mesti menebus kekalahan 3-0 di Brighton pada Januari lalu apabila kedua-dua pasukan berentap lagi dalam saingan Liga Perdana Inggeris hari ini.
Dua minggu selepas kekalahan tersebut, Liverpool tumpas lagi kepada Brighton 2-1 di Amex, sekali gus tersingkir dari saingan Piala FA.
Mereka belum pernah mengalahkan Seagulls sejak pasukan itu diambil alih oleh Roberto De Zerbi.
“Jika kami bermain seperti musim lalu, kami akan mendapat pukulan besar.
“Brighton menerima keputusan tidak sepatutnya (dibelasah Aston Villa 6-1 dalam aksi terakhir liga) tetapi itu perkara normal dalam perkembangan mereka.
“Mereka melakukan banyak perubahan, hilang pemain terbaik – salah seorang daripadanya kini milik kami (Alexis Mac Allister), dan masih bermain luar biasa.
“Kami perlu memperbetulkan beberapa perkara kerana anda boleh ‘kelihatan bodoh’ sekali tetapi anda tidak sepatutnya ‘kelihatan bodoh’ untuk kali kedua,” kata Klopp.
Liverpool yang kalah 1-2 dalam aksi kontroversi kepada Tottenham minggu lalu akan ke Brighton tanpa Curtis Jones dan Diogo Jota yang digantung, manakala Cody Gakpo mengalami kecederaan. – AGENSI