KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih India, Igor Stimac berkata, pasukannya seperti menentang ’14 pemain lawan’ ketika tumpas 2-4 kepada Malaysia dalam aksi Pestabola Merdeka, malam tadi.
Stimac juga menyalahkan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil yang sangat teruk menyebabkan pasukannya gagal untuk beraksi dengan baik.
Menurutnya, rumput yang mudah tercabut menyukarkan pemain bergerak, malah boleh mendatangkan kecederaan.

“Kedua-dua pasukan beraksi dengan baik, tahniah kepada Malaysia. India menentang 14 orang (11 pemain, tiga pengadil) dalam perlawanan malam ini.
“Saya tidak mahu bercakap mengenai pengadil bagi mengelak mengganggu kejayaan pasukan anda (Malaysia),” kata Stimac dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Mengulas mengenai keadaan padang, Stimac berpandangan dengan taraf Pestabola Merdeka sebagai kejohanan tertua di Asia, ia selayaknya mendapat kemudahan yang lebih baik.
“Sangat jelas keadaan padang hari ini amat teruk. Dengan (pemain) berlari dan memijak padang, ada kebimbangan akan ada kecederaan tetapi mereka semua beraksi dengan bagus.
“Jadi, tahniah kepada kedua-dua pasukan,” katanya.
Dalam perlawanan itu, Malaysia yang berkedudukan 134 dunia mengejutkan India, pasukan 102 dunia hasil jaringan Dion Cools, Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan La’Vere Corbin Ong.L
Selain itu, Stimac juga cemburu dengan, Harimau Malaya yang memiliki penyokong hebat dan terbaik, sekali gus membantu Malaysia meraih kemenangan di laman sendiri.
“Anda memiliki penyokong yang sangat hebat dan terbaik. Saya cukup terhibur dan terpegun melihat sokongan daripada mereka.
“Tahniah kepada Malaysia kerana ada sokongan padu penyokong sendiri, ia membantu memberikan semangat kepada pasukan untuk beraksi dengan baik,”katanya.
Kekalahan itu menyaksikan India hanya bermain satu perlawanan dalam Pestabola Merdeka kali ini susulan penarikan diri Palestin pada saat akhir. – UTUSAN