PETALING JAYA: Endrick Dos Santos percaya, Harimau Malaya kini lebih yakin dan mampu memberi tentangan sengit apabila berdepan pasukan ranking lebih tinggi.
Pemain naturalisasi negara itu juga mengakui, prestasi semasa skuad kendalian Kim Pan Gon sangat baik jika dibandingkan ketika kali pertama dia menyarung jersi Malaysia.
“Saya lihat pasukan ini sekarang mempunyai karakter yang baik, kita lebih banyak mengawal permainan, bermain secara berpasukan dan kita lebih faham dengan apa yang dimahukan oleh barisan kejurulatihan.
“Apabila menentang pasukan yang lebih kuat pun kita bermain seperti biasa sahaja dengan gaya bola sepak yang kita mahukan, jadi semuanya semakin baik dalam pasukan ini,” kata bintang tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu selepas sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Mengulas mengenai persiapan pasukan menjelang Pestabola Merdeka 2023, Endrick mengakui tidak sabar untuk beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil selain memasang impian untuk bergelar juara edisi kali ini.
“Saya sedar tentang sejarah kejohanan ini dan saya sentiasa mahu bermain untuk Malaysia dan mahu lakukan yang terbaik dengan memenangi trofi ini di hadapan para penyokong yang kembali ke Stadium Nasional Bukit Jalil,” katanya
Endrick yang mendapat kerakyatan awal tahun ini sudah beraksi lima kali bersama Harimau Malaya dan setiap kali mahu turun bermain, dia mendedahkan bahawa ayah dan ibunya akan menelefon untuk memberi kata-kata semangat.
“Ayah dan ibu saya telefon saya satu hari sebelum perlawanan dan mereka akan meluangkan masa berbual bersama-sama terutama bapa saya yang gembira kerana dia juga seorang pemain bola sepak.
“Semua dalam keluarga saya gembira termasuk anak saya yang akan menyarung jersi Harimau Malaya setiap kali saya bermain dan ini membuatkan saya gembira berada di sini,” katanya.