BARCELONA: Jude Bellingham memenuhi reputasi besarnya apabila meledak dua gol, termasuk jaringan pada minit ke-91 untuk mengetuai kebangkitan hebat Real Madrid ketika menumpaskan Barcelona 2-1 dalam aksi La Liga awal pagi tadi.
Pemain antarabangsa England itu yang beraksi dalam perlawanan El Clasico pertamanya melepaskan rembatan jauh untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-68 selepas Ilkay Gundogan terdahulu membuka jaringan tuan rumah seawal minit keenam.
Bellingham kemudian meledak gol kedua pada masa kecederaan dari jarak dekat untuk mendiamkan penyokong Barcelona dan mengumpul 10 gol dalam liga utama musim ini.
Dua gol Bellingham menghantar Real ke puncak La Liga, mendahului Girona dengan perbezaan gol selepas kedua-dua pasukan berkongsi 28 mata, empat mata mengatasi Barcelona di tempat ketiga.

“Saya suka kebangkitan semula ini. Saya bermain dengan hati tetapi ia perlawanan menyeronokkan untuk dimainkan.
“Kami tidak berputus asa dan saya sangat gembira dapat memenanginya,” kata Bellingham kepada Real Madrid TV.
Bellingham tidak membuang masa meraikan gol penyamaannya, sebaliknya tetap tenang untuk memulakan semula permainan secepat mungkin sebelum menghadiahkan gol kemenangan.
“Pada usianya yang muda, dia kelihatan seperti veteran. Keinginan tingginya untuk menyamakan kedudukan benar-benar mengubah permainan.
“Apa yang mengejutkan adalah rembatannya. Dia sentiasa tiba di dalam kotak, hari ini dia menjaringkan gol yang menakjubkan dari depan kawasan itu,” kata pengurus Real, Carlo Ancelotti mengenai bintang tengah berusia 20 tahun itu.
Bellingham kini telah menjaringkan 13 gol dalam 13 perlawanan untuk Real Madrid di semua pertandingan. – AGENSI