LONDON: Mikel Arteta berikrar untuk menamatkan cengkaman Manchester City ke atas Arsenal apabila menerima kunjungan juara bertahan itu dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Emirates hari ini.
Arsenal tidak pernah mengalahkan City dalam saingan liga sejak lapan tahun lalu, namun mereka mahu menyerap semangat daripada kemenangan sensasi yang pernah dilakar ke atas Manchester United dan Chelsea apabila berdepan skuad bimbingan Pep Guardiola.
Pada 2020, Gunners menang ke atas United di Old Trafford buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun, manakala pada 2021 Arsenal menang di Chelsea buat kali pertama sejak 10 tahun.
“Saya fikir kami mampu mengubahnya. Ketika saya datang ke sini, kami sudah bertahun-tahun (tidak menang) di Old Trafford dan di Stamford Bridge, namun kami melakukannya. Jadi mari kita ubah sejarah itu,” kata pengurus Gunners itu.
Arsenal tewas semua 12 pertemuan dengan City, manakala bagi Guardiola, kemenangan ke atas Gunners membolehkan mereka melebarkan rekod kemenangan terpanjang ke atas mana-mana pasukan.
Selepas mengharungi tujuh perlawanan musim ini, Arsenal belum kalah dan kini menghuni tangga ketiga liga hasil lima kemenangan dan dua seri.
Arteta juga menyenaraikan pemain sayap, Bukayo Saka yang berdepan kecederaan ketika menentang Lens dalam Liga Juara-Juara minggu lalu.

Sementara itu, City yang kalah mengejut 2-1 kepada Wolverhampton dalam aksi terakhir liga minggu lalu tekad untuk kembali ke landasan kemenangan.
“Pendekatan Arsenal berbeza dengan Wolverhampton. Wolves bertahan dari minit pertama, malah ada 11 pemain mereka berkampung di benteng.
“Arsenal kita tahu mereka akan menyerang dan bermain terbuka,” kata Guardiola. – AGENSI