PARIS: Pada usia 16 tahun 57 hari, Lamine Yamal mencipta rekod muncul pemain dan penjaring termuda Sepanyol ketika membelasah Georgia 7-1 dalam kelayakan Kejohanan Eropah (Euro) 2024 awal pagi tadi.
Bintang muda Barcelona itu meledak gol ketujuh pasukannya di Stadium Boris Paitchadze Dinamo, sekali gus membolehkan skuad La Roja meraih kemenangan kedua dalam Kumpulan A.
Penyerang Juventus, Alvaro Morata pula meledak hatrik, manakala tiga lagi jaringan Sepanyol disempurnakan Dani Olmo, Nico Williams serta jaringan sendiri Solomon Kvirkvelia.
Sepanyol yang menduduki tangga keempat selepas tumpas kepada Scotland pada perlawanan kedua, kini melonjak ke kedudukan kedua dengan kemenangan di Tbilisi.

“Saya amat gembira, untuk penampilan sulung dan jaringan yang dihasilkan. Saya seperti bermimpi sekarang,” kata Yamal.
Morata membuka jaringan pada minit ke-22, diikuti gol sendiri Kvirkvelia. Olmo meledak gol ketiga Sepanyol sebelum Morata menjaringkan gol keduanya dan keempat pasukan sebelum rehat.
Sepanyol mengeluarkan kedua-dua pemain sayapnya sebelum rehat, sekali gus memberi peluang kepada Yamal mencipta sejarah penampilan pertama.
Pemain Watford, Giorgi Chakvetadze meledak gol tunggal Georgia sebelum Morata melengkapkan hatrik dan Williams serta Yamal memastikan kemenangan Sepanyol.
Sepanyol, yang akan berdepan Cyprus di Granada pada Selasa depan kekal dengan sembilan mata di belakang Scotland, yang bermain lebih dua perlawanan. – AGENSI