Weemaes tamatkan penantian juara LTdL 2023 di Seremban

Weemaes tamatkan penantian juara peringkat LTdL 2023 di Seremban

KUALA LUMPUR, 29 SEPTEMBER 2023 - Pelumba Human Powered-Health, Sasha Weemaes muncul juara peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang berlangsung dari Muar ke Seremban pada hari ini. (FOTO: AMIR KHALID/UTUSAN MALAYSIA)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pelumba pasukan Human Powered-Health, Sacha Weemaes terpaksa menanti selama tujuh hari perlumbaan sebelum berjaya menaiki podium sebagai juara peringkat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 setelah berjaya mengungguli saingan yang berlangsung hari ini.

Perlumbaan peringkat ketujuh dari Muar ke Seremban 2 pada hari ini menyaksikan 112 orang pelumba mengharungi laluan sejauh 123.8 kilometer.

Malang buat pelumba Euskaltel Euskadi, Carlos Canal kerana tidak dapat meneruskan saingan kerana terlibat dengan kemalangan hanya selepas 30 kilometer (km) perlumbaan bermula.

KUALA LUMPUR, 29 SEPTEMBER 2023 – Pelumba dari pasukan Euskatel, Carlos Canal yang mengalami kecederaan selepas terlibat kemalangan dalam peloton besar pada perlumbaan Peringkat 7 dari Muar, Johor menuju ke Seremban, Negeri Sembilan sejauh 123.8 km pada siri jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 di sini hari ini. GAMBAR – AMIR KHALID

Tiada zon dakian ditawarkan dalam perlumbaan pada hari ini, namun tiga zon pecutan menjadi rebutan beberapa pelumba antaranya pemegang jersi jingga, Raja Pecut, Arvid De Kleijn dari Tudor Pro Cycling unggul untuk mengutip mata penuh di km 28.6 Umbai dan km 47.8 Cheng, manakala pelumba Terengganu Polygon Cycling (TSG), Jambaljamts Sainbayar menungguli zon pecutan ketiga di km 91 Linggi.

Menuju ke penghujung perlumbaan, Weemaes melakukan kayuhan bertenaga untuk mengatasi beberapa pakar pecut lain dalam kelompok peloton, sekaligus muncul juara peringkat ketujuh LTdL 2023.

Lebih manis, ini merupakan kejuarannya yang pertama untuk edisi LTdL tahun ini selepas tiga perlumbaan sebelum ini, Weemaes akur apabila sekadar meraih kedudukan naib juara (peringkat pertama dan peringkat keenam) serta tempat ketiga (peringkat keempat).

“Saya sangat gembira hari ini, saya tidak menyerah kalah. Hari ini semuanya sempurna, saya berbangga dengan pasukan dan gembira

“Seperti semalam perlumbaan begitu pantas, sama juga hari ini, ada laluan naik dan turun. Saya rasa sangat bagus.

“Ia penamat musim yang baik selepas beraksi buruk sepanjang tahun, banyak berkaitan masalah kesihatan saya hadapi, kemenangan ini sangat bermakna buat saya dan juga pasukan,” kata Weemaes.

Tempat kedua milik De Kleijn, sementera pelumba Astana Qazaqstan, Gleb Syritsa meraih kedudukan ketiga.

Penawar duka buat skuad negara apabila pelumba pasukan kebangsaan, Nur Aiman Rosli dinobatkan sebagai pelumba terbaik Malaysia kerana berjaya menghabiskan perlumbaan hari ini di kedudukan ke 18 keseluruhan.

Pemilik jersi hijau, Pendahulu Keseluruhan masih kekal menjadi milik pelumba EF Education-Easypost, Simon Carr, sementera De Kleijn dan rakan sepasukannya, Simon Pellaud turut sama unggul mengekalkan penguasaan jersi masing-masing iaitu jersi jingga, Raja Pecut dan jersi bintik merah, Raja Bukit.

Jersi Putih, Pelumba Terbaik Asia juga kekal milik pelumba Astana Qazaqstan Team, Vadim Pronskiy.

Peringkat terakhir esok akan bermula dari Setia Alam menuju ke ibu negara, Kuala Lumpur sejauh 156.5km.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN