LONDON: Pengurus Tottenham, Ange Postecoglou amat bersemangat untuk ‘mencacatkan’ rekod kemenangan Liverpool apabila menerima kunjungan kelab ‘kegemarannya’ dalam aksi Liga Perdana Inggeris esok.
Gaya serangan Postecoglou telah memenangi hati peminat sejak dia menyertai Spurs pada Julai lalu, dan pertembungan antara dua pasukan yang belum tewas musim ini menjadi aksi paling mencuri tumpuan minggu ini.
Tottenham yang menghuni tangga keempat menikmati permulaan terbaik mereka dalam tempoh 57 tahun dengan mencatat empat kemenangan dan dua seri, manakala Liverpool di tempat kedua memburu kemenangan liga keenam berturut-turut dan kelapan keseluruhan.
Perjalanan bola sepak Postecoglou sebenarnya banyak diilhamkan oleh Liverpool, yang merupakan kelab kegemarannya sejak zaman kanak-kanak.
“Saya adalah peminat Liverpool. Saya suka Bill Shankly (pengurus legenda Liverpool), saya suka keseluruhan cerita mereka,” katanya kepada bekas penyerang Spurs dan England, Gary Lineker dalam wawancara BBC baru-baru ini.

Begitupun ketika ditanya apakah dia masih seorang penyokong tegar Liverpool, Postecoglou secara berseloroh berkata: “Saya telah menurunkan poster mereka minggu lalu.”
Liverpool dijangka mempertaruhkan trio Mohamed Salah, Darwin Nunez dan Luis Diaz mengetuai serangan, manakala Spurs yang tampak lebih baik tanpa Harry Kane menyandarkan ketajaman Son Heung Min bersama Richarlison.
Reds juga menerima perkhabaran gembira apabila bek kanan, Trent Alexander-Arnold kembali ke sesi latihan, namun tidak dapat dipastikan apakah dia bersedia diturunkan.
Sementara itu dalam satu lagi aksi tumpuan, Manchester City yang disingkirkan oleh Newcastle pada pusingan ketiga Piala Liga tidak rela dikecewakan lagi.
City berdepan tugas getir di Wolverhampton apabila berdepan kecederaan John Stones, Bernardo Silva dan Kevin de Bruyne. – AGENSI