LONDON: Harry Maguire mungkin tidak ‘dipandang’ oleh Manchester United, namun sentuhan pertahanan tengah itu tetap ditagih pengendali England, Gareth Southgate bagi menghadapi kelayakan Kejohanan Eropah (Euro) 2024 menentang Ukraine hari ini.
Mimpi ngeri bek tengah itu bersama United berterusan selepas hanya tampil sekali di bawah bimbingan Erik ten Hag musim ini, iaitu sebagai gantian ketika tewas 3-1 kepada Arsenal, Ahad lalu.
Begitupun, Maguire sedia mengetepikan kekecewaan di kelab untuk membantu The Three Lions mengekalkan rekod bersih dalam Kumpulan C, di mana mereka memenangi kesemua empat perlawanan untuk mengungguli saingan.
Selepas berdepan Ukraine di Wroclaw, Poland, England hanya akan kembali semula pada Oktober, menentang juara bertahan, Itali yang mengalahkan mereka dalam final 2020.
Southgate dijangka menggandingkan Maguire dengan tonggak Crystal Palace, Marc Guehi, 23, dalam kesebelasan utama selepas kedua-duanya bermain baik ketika England menumpaskan Malta 4-0, Jun lalu.
Southgate beraksi tanpa John Stones yang cedera, manakala Tyrone Mings terlepas musim ini selepas menjalani pembedahan ligamen anterior cruciate (ACL).
Conor Coady yang kini bermain untuk Leicester tidak menonjol di posisi berkenaan dan Guehi diyakini tetap menjadi pilihan Southgate biarpun kurang pengalaman dan hanya membuat empat penampilan bersama England.

Fikayo Tomori dari AC Milan hanya bermain tiga kali untuk England, Lewis Dunk (Brighton)sekali dan Levi Colwill (Chelsea)belum membuat penampilan sulung.
Maguire, 30, juga mengisi kesebelasan utama England ketika mereka mara ke suku akhir Piala Dunia di Qatar tahun lalu walaupun jarang bermain bersama United.
Bagaimanapun, dia boleh kehilangan tempatnya jika pengurus United, Erik ten Hag berterusan meletakkannya di tepi padang.
Begitupun masalah kecederaan yang membelenggu ramai pemain pertahanan England ketika ini, melibatkan Luke Shaw, Ben Chilwell dan Trent Alexander-Arnold menyebabkan Southgate tidak mempunyai banyak pilihan. – AGENSI