LONDON: Liverpool menolak tawaran 150 juta pound (RM880 juta) daripada Al-Ittihad untuk mendapatkan Mohamed Salah, lapor media Britain hari ini.
Al-Ittihad tidak berputus asa untuk mendapatkan penyerang Mesir berusia 31 tahun itu biarpun tawaran awal mereka 100 juta pound (RM590.2 juta) ditolak sebelum ia dinaikkan 50 juta pound (RM295.1 juta) lagi.
SunSport minggu lalu mendedahkan, Al-Ittihad menawarkan Salah perjanjian lumayan untuk berhijrah ke Arab Saudi.
Tawaran lima tahun itu dipercayai membabitkan gaji pokok hampir 100 juta, jet peribadi dan ganjaran lumayan lain bagi mempromosikan pelancongan serta pelaburan ke Arab Saudi.
Begitupun sumber memberitahu Sky Sports News, Al Ittihad sedia melancarkan satu lagi tawaran ‘gila’ bernilai 200 juta pound (RM1.172 bilion).

Biarpun Liverpool menegaskan Salah tidak akan dijual, namun Ittihad percaya, mereka akan mengemukakan tawaran yang sukar ditolak.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan Salah berpindah ke Arab Saudi, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata: “Keadaan tetap sama, tidak ada keraguan.
“Kami tidak boleh (menjual Salah). Itulah situasinya. Tiada yang lain.”
Biarpun jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris akan ditutup pukul 11 malam ini (6 pagi waktu Malaysia), kelab Liga Pro Saudi masih boleh membeli sehingga minggu depan kerana jendela mereka ditutup pada 7 September.
Ittihad sanggup membayar gaji 1.5 juta pound (RM8.79 juta) seminggu kepada Salah dan berharap tawaran itu mampu menukar fikirannya.
Pengulas Sky Sports yang juga bekas penyerang England, Paul Merson sebelum ini memberitahu, Liverpool tidak harus melepaskan Salah pada harga 150 juta pound.
“Dia antara pemain terbaik dunia. Ia sukar. Jika anda menjualnya dengan harga 150 juta pound apa yang anda boleh bawa? Mereka tidak akan menjadi lebih baik daripada Salah.
“Tetapi pada masa sama, adakah mereka akan memenangi liga musim ini? Saya tidak fikir begitu. Adakah anda mengambil wang itu dan cuba membina semula?
“Dengan satu minggu lagi jendela perpindahan mereka (Liga Pro) ditutup, Ittihad akan datang dan berkata 200 juta, itu pasti membimbangkan.
“Saya akan katakan 200 juta (terlalu banyak untuk ditolak). Saya tidak nampak bagaimana anda boleh menolaknya untuk pemain berusia 31 tahun. Itu tidak dapat dinafikan.
“Saya tidak nampak mereka (Liverpool) akan memenangi Liga Perdana dengan atau tanpa Salah. Kalau mereka ambil 200 juta pound, gunakan ia untuk pelan empat tahun,” katanya. – AGENSI