LONDON: Tarikh akhir perpindahan Liga Pro Saudi telah ditutup untuk menamatkan musim panas yang memecahkan rekod perbelanjaan – tetapi Al-Ittihad tidak dapat menghadirkan Mohamed Salah dari Liverpool.
Pasukan bimbingan Nuno Espirito Santo membuat tawaran £150 juta tetapi ditolak oleh The Reds untuk pemain antarabangsa Mesir berusia 31 tahun itu dan laporan mengenai bidaan £215 juta yanhg memecah rekod dunia tidak pernah disahkan.
Beberapa pengurus Liga Perdana Inggeris telah mengkritik hakikat bahawa tarikh akhir Arab Saudi ditutup hampir seminggu selepas liga utama Eropah.
Selain beberapa bintang Liga Perdana pergi ke Arab Saudi dengan kira-kira £250m gabungan, beberapa nama utama bola sepak dunia juga akan bermain di Teluk.
Penyerang Paris St-Germain Neymar menyertai Al-Hilal dengan harga £77.6 juta, manakala kelab Arab Saudi turut memikat rakan sepasukannya di PSG Georginio Wijnaldum, pemenang Ballon d’Or Karim Benzema dari Real Madrid, Sadio Mane dari Bayern Munich, kapten Inter Milan Marcelo Brozovic, Pemain Barcelona Franck Kessie, Jota dari Celtic dan pemain tengah Lazio Sergej Milinkovic-Savic.
Mungkin terdapat perpindahan rekod dunia baharu juga. PSG memberi kebenaran kepada Al-Hilal untuk bercakap dengan Kylian Mbappe selepas membuat bidaan £259m, tetapi penyerang itu memilih untuk kekal bersama juara Perancis itu dan Neymar telah dijual.
Peminat Liverpool menunggu dengan cemas sehingga tarikh akhir Saudi ditutup.
Terdapat kebimbangan Al-Ittihad boleh kembali dengan tawaran yang tidak dapat ditolak oleh The Reds untuk Salah – apabila mereka tidak akan dapat membeli pengganti selama empat bulan.
Salah telah menjaringkan 188 gol dalam 309 perlawanan untuk Liverpool sejak menyertai kelab itu dari Roma pada 2017.
“Kunci untuk Liverpool ialah Salah,” kata bekas penyerang Blackburn, Chris Sutton di BBC Radio 5 Live. – AFP