NEW YORK: Bintang tenis Ukraine, Elina Svitolina mencuit hati peminat apabila bukan sahaja mempamer kebangkitkan hebat pada pusingan kedua Terbuka Amerika Syarikat (AS) semalam, malah sempat bertanya tentang perkembangan suaminya yang beraksi di gelanggang sebelah.
Svitolina, 28, pilihan ke-26 kejohanan diberi tentangan sengit oleh pemain Russia, Anastasia Pavlyuchenkova dan tewas 5-7 di set pembukaan sebelum bangkit mencatat kemenangan 6-4, 6-4 di Stadium Louis Armstrong.
Suaminya, Gael Monfils dari Perancis menentang pemain Russia, Andrey Rublev di Flushing Meadows, namun tewas 4-6, 3-6, 6-3, 1-6.
Di tengah-tengah perlawanan, semasa bertukar gelanggang, Svitolina dilihat bersembang dengan pengadil untuk mengetahui perkembangan suaminya.
Selepas bermula hambar, Svitolina kembali ke gelanggang dengan lebih bertenaga, seolah-olah mendapat motivasi tambahan sebaik sahaja mendengar khabar suaminya.
“Saya hanya mahu mendapatkan sedikit motivasi daripada dia (suami).
“Saya tahu dia bermain di gelanggang lain dan itu agak mengganggu fikiran saya kerana saya tidak dapat bermain dengan baik.
“Saya perlu membawa tenaga yang positif dan berfikir sedikit sahaja tentangnya,” kata Svitolina ketika ditanya tentang perbualannya dengan pengadil.

Pasangan itu berkahwin pada Julai 2021 selepas mengumumkan mengenai hubungan mereka pada 2019 dan kini dikurniakan anak perempuan, Skai Monfils yang lahir pada Oktober 2022.
“Demi kesihatan dia (anak), kami tinggalkannya di rumah. Kami sangat merinduinya dan perasaan ini menyebabkan saya sering berfikir tentang dia.
“Sudah sebulan kami tidak berjumpa anak kami, hanya dapat ‘Face Time’ setiap hari.
“Semasa Roland Garros (Terbuka Perancis) dulu, kami sempat habiskan masa dengannya tetapi dalam Grand Slam seperti ini, masa sangat terhad. Kami bangun pagi dan terus berlatih, kemudian rawatan, sidang media dan bermain,” katanya.
Svitolina yang pernah melangkah ke separuh akhir Terbuka AS 2019 bakal berdepan cabaran getir bintang tuan rumah yang juga pemain No. 3 dunia, Jessica Pegula pada pusingan ketiga hari ini. – AGENSI