KUALA TERENGGANU: Pasukan bertaraf benua, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) muncul pasukan terbaik keseluruhan Jelajah Iran yang berakhir semalam.
TSG mengumpul masa keseluruhan 60 jam 2 minit 35 saat manakala Almaty Astana Motors (60:03:22s) dan Thailand Continental Cycling Team (60:04:23s) di tempat kedua dan ketiga.
Menurut Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus, TSG berjaya melepasi sasaran apabila meraih tiga kedudukan podium daripada dua yang disasarkan.
Katanya, pelumba import, Anatolii Budiak terus cemerlang selepas menamatkan perlumbaan peringkat terakhir, semalam, di tempat kedua manakala Metkel Eyob di tempat keempat.
“Kami sangat berpuas hati dengan prestasi pelumba yang beraksi di Iran dan berjaya mendapat keputusan lebih baik daripada yang diharapkan daripada mereka.
“Sebagai kejohanan bertaraf 2.1 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), TSG diberi tentangan sengit pasukan handal dan kita berjaya memungut mata untuk membaiki ranking dunia.
“Ini adalah persiapan terbaik sebelum TSG menghadapi saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) pada pertengahan bulan ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam perlumbaan peringkat terakhir dari Sarein ke Tabriz, semalam, pelumba TSG, Anatolii Budiak menamatkan perlumbaan sejauh 197.9 kilometer itu di tempat kedua dengan catatan masa 4:46:25s.
Eyob pula di kedudukan keempat dengan masa 4:46:37s.
Budiak terdahulu mengungguli peringkat keempat manakala rakan-sepasukan, Jambaljamts Sainbayar menjuarai peringkat ketiga sekaligus menobatkan TSG sebagai pasukan terbaik.
Pelumba kelahiran Ukraine itu turut cemerlang berada di tempat kedua perebutan jersi kuning atau juara keseluruhan serta tempat ketiga bagi jersi polka dot (raja bukit).
Pasukan nombor satu Asia dalam ranking UCI itu selepas ini dijangka menyertai kejohanan tiga hari Jelajah Sapporo di Jepun bermula 8 sehingga 10 September ini. – UTUSAN