PETALING JAYA: Kejayaan Harimau Malaya mengikat Syria 2-2 semalam membuktikan standard mereka setanding pasukan 100 terbaik dunia, kata Ketua Jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan Gon.
Dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Chengdu, China itu, pasukan negara bangkit daripada ketinggalan 0-2 menerusi jaringan Akhyar Rashid dan Darren Lok pada separuh masa kedua.
Kata Pan Gon, anak-anak buahnya mampu menyaingi Syria walaupun pasukan Qasioun Eagles itu berada di ranking ke-94 dunia, berbanding Harimau Malaya,136 dunia.
“Secara amnya, pada babak pertama, persembahan kita sangat bagus, kita mampu menyaingi pasukan ranking ke-94 dunia, namun kita dihukum dengan dua kesilapan.
“Bagaimanapun pada separuh masa kedua, kita menunjukkan mentaliti dan sikap Harimau Malaya yang mampu mengejar semula permainan, berjuang sehingga ke penamat,” katanya selepas aksi di Stadium East-Town Football Park.

Kata Pan Gon, berjaya bangkit daripada ketinggalan dua gol amat penting kerana ia mampu meningkatkan keyakinan pemain untuk berhadapan tekanan.
Jurulatih dari Korea Selatan itu berkata, beliau akan terus menguji taktikal pasukannya apabila bertemu lawan lebih kuat, China dalam aksi persahabatan kedua, Sabtu ini.
“Sekarang saya mahu menguji beberapa aspek taktikal dan merasai kekuatan pasukan yang berada pada ranking ke-80 dunia (China).
“Kami mahu tahu kedudukan kami, jadi kami akan berterusan menyerang mereka, saya rasa kita perlu bermain agresif dan memberi cabaran. Kami perlu lakukan yang terbaik untuk menyerang dan cuba untuk menang,” katanya. – UTUSAN ONLINE