PETALING JAYA: Penyerang Harimau Malaya, Darren Lok mengakui kecewa gagal membantu pasukan mencatat kemenangan ke atas Syria selepas babak kedua menyaksikan pasukan kebangsaan mendominasi perlawanan.
Beberapa peluang dicipta skuad negara ketika mengikat Syria 2-2 pada aksi persahabatan antarbangsa di Stadium East-Town Football Park, di Chengdu, China petang kelmarin.
Begitupun, penyerang Sabah FC itu melihat kejayaan bangkit menyamakan kedudukan adalah satu pencapaian membanggakan meskipun seharusnya skuad negara berpeluang menewaskan lawan yang menghuni ranking 94 dunia itu.
“Saya sedikit kecewa apabila tak mampu untuk menang perlawanan tersebut kerana berjaya mencipta banyak peluang.
“Tetapi saya tetap gembira dengan pasukan dapat bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk mengakhiri aksi dengan keputusan 2-2 , ia adalah keputusan yang baik untuk kita.
“Saya rasa pada babak kedua kita lebih baik yang mana kita mempunyai banyak peluang,” katanya selepas aksi itu.
Darren Lok yang juga pemain warisan dimasukkan oleh Kim Pan-gon pada babak kedua bagi menggantikan Paulo Josue yang kurang menyengat sepanjang 45 minit pertama.
Pada perlawanan itu, dua gol jaringan dua pemain simpanan Akhyar Rashid dan Darren Lok masing-masing dalam separuh masa kedua, memadam harapan Syria untuk menang selepas mendahului 2-0 pada separuh masa pertama, menerusi jaringan Mardek Mrdkian dan Yasin Alsamya.
Kejayaan mengikat Syria memberi tonik tambahan buat pasukan negara yang berada di tangga 136 dunia menjelang ujian getir menentang pasukan China di ranking di kedudukan 80 dunia dalam aksi persahabatan kedua Sabtu ini. – UTUSAN ONLINE