LONDON: Mikel Arteta mengakui, dia agak beremosi pada ‘malam yang indah’ selepas Arsenal membuat kepulangan semula dalam Liga Juara-Juara dengan membelasah PSV Eindhoven 4-0 di Emirates awal pagi tadi.
Kembali ke saingan kelab elit Eropah itu buat kali pertama dalam tempoh enam tahun, kejayaan membenam pendahulu liga Belanda, Eindhoven membuktikan Gunners boleh bersaing di peringkat tinggi.
Tuan rumah menguasai permainan babak pertama dengan mendahului 3-0 menerusi jaringan Bukayo Saka, Leandro Trossard dan Gabriel Jesus.
Ketika perlawanan berbaki 20 minit, ketua pasukan, Martin Odegaard melengkapkan kemenangan 4-0.
Arteta mengakui amat gembira dengan apa yang dilihat, malah menyifatkan ia kemenangan istimewa buat kakitangan, pemain serta penyokong kerana sudah terlalu lama tidak merasai pentas elit itu.

“Ia adalah malam yang indah. Sudah tentu, selepas sekian lama, kami mahu menghasilkan persembahan terbaik untuk cuba memenangi perlawanan.
“Seronok melihat suasana, (semasa) muzik Liga Juara-Juara (dimainkan), semua orang saya fikir menjadi sedikit emosi sebelum itu.
“Hari ini kami menunjukkan, dalam kedua-dua kawasan (serangan dan pertahanan), kami luar biasa dan itulah yang membawa kepada perbezaan dalam permainan,” kata jurulatih kelahiran Sepanyol itu.
Perlawanan terakhir Arsenal dalam pertandingan itu adalah pada Mac 2017, apabila Bayern Munich melengkapkan kemenangan agregat 10-2 di pusingan 16 terakhir.
Gunners kini kelihatan mantap di sebalik kekurangan pengalaman dalam Liga Juara-Juara dan sepatutnya mudah melepasi peringkat Kumpulan B, yang turut menampilkan Sevilla dan Lens.
Arsenal tidak kalah dengan empat kemenangan daripada lima aksi Liga Perdana Inggeris ketika mereka mahu menebus kegagalan meraih kejuaraan musim lalu. – AGENSI