200 peserta bertarung di kejohanan T-Fight - Utusan Malaysia

200 peserta bertarung di kejohanan T-Fight

HISHAMUDDIN Abdul Karim (tengah) bergambar selepas sidang akhbar prapelancaran T-Fight Festival 2023 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lebih 200 peserta dalam dan luar negara dijangka menyertai kejohanan sukan mempertahankan diri, Terengganu Fight (T-Fight) Festival 2023 pada 29 dan 30 September ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim, antara yang telah mengesahkan penyertaan adalah peserta dari Thailand, Iran dan Scotland.

Beliau berkata, sembilan pertarungan kategori utama iaitu Kejuaraan T-Fight Muay Thai bakal disajikan kepada peminat sukan tempur membabitkan peserta antarabangsa.

“Ianya termasuk dua pertarungan kategori ‘Challenger Battleground Series’ menemukan peserta Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang mendapat liputan siaran antarabangsa.

“Malaysia pula diwakili atlet sensasi muay Thai yang sedang mencipta nama, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, sekaligus diharap dapat menarik minat pengunjung tempatan.

“Selain itu, turut diadakan kategori amatur Kejohanan Muay Thai Sekolah Peringkat Kebangsaan bagi mencungkil bakat baharu serta Kejohanan Kick Boxing Senior,” katanya pada sidang akhbar pra-pelancaran T-Fight Festival 2023 di pejabatnya di sini, hari ini.

Tambahnya, penganjuran edisi kedua itu juga bakal tercatat dalam ‘Malaysia Book of Records’ (MBOR) dengan persembahan seni mempertahankan diri tanpa henti selama 16 jam.

Beliau berkata, pertunjukan berkenaan menampilkan aksi tempur secara bergilir-gilir tanpa henti daripada persatuan dan kelab mempertahankan diri dari seluruh negara.

“Bagi menarik kehadiran lebih 15,000 pengunjung, penganjur turut menyediakan cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), Proton X50 dan motosikal Yamaha RXZ.

“Selain itu pelbagai acara sampingan akan diadakan antaranya pertunjukan bina badan, himpunan kereta klasik, pameran pelancongan dan kejohanan sukan elektronik.

“Penganjuran T-Fight Festival 2023 ini dijangka dapat memberi impak ekonomi kepada masyarakat sekaligus menaikkan nama negeri ini sebagai destinasi pelancongan sukan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN