KUALA NERUS: Biarpun dianggap sudah sebelah kaki untuk ke suku akhir Piala Malaysia selepas membedil KL Rovers 4-0 dalam aksi pertama pada 4 Ogos lalu, Terengganu FC tetap menurunkan kesebelasan terbaik apabila menerima kunjungan kelab Liga M3 itu dalam aksi kedua malam ini.
Pengendali Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner berkata, pasukannya tidak memandang mudah pasukan Liga M3 itu meskipun memiliki kelebihan empat gol.
Tegasnya, semua pemain sedia diturunkan kecuali penjaga gol, Rahadiazli Rahalim dan pertahanan, Ubaidullah Shamsul yang bersama skuad B-23 negara ke Kejuaraan AFF di Thailand.
“Kemenangan 4-0 dalam pusingan pertama belum menjamin kemaraan TFC sebaliknya kami perlu profesional dan turun dengan misi meneruskan momentum positif.
“Pemain-pemain tidak boleh mengambil mudah pertemuan dengan KL Rovers yang pasti mahu merencana kebangkitan walaupun kelebihan jelas berpihak kepada kami.
“Mungkin ada satu atau dua perubahan dalam kesebelasan utama namun yang pasti saya akan menurunkan barisan terkuat untuk aksi di laman sendiri ini,” katanya semalam.

Sementara itu ayam tambatan TFC, Ivan Mamut mengakui, semangatnya semakin membara untuk terus merobek pintu gol lawan selepas kembali menemui sentuhan jaringan bersama skuad Penyu.
Penyerang tinggi lampai itu meledak hatrik ketika TFC membelasah Kelantan FC 8-0, Isnin lalu yang merupakan jaringan ke-15 dalam semua pertandingan musim ini.
Menurut Mamut, dia berhasrat membalas kepercayaan diberikan oleh jurulatihnya dengan membantu TFC melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia dalam musim pertamanya di sini.
“Apa pun kami fokus satu perlawanan ke satu perlawanan, musim ini juga masih panjang termasuk saingan Piala AFC yang bermula September. Tumpuan kini hanya terarah kepada KL Rovers,” katanya.