KOTA BHARU: Penyokong Kelantan FC mendesak pemilik kelab, Norizam Tukiman segera melepaskan The Red Warriors (TRW).
Tindakan itu susulan Kelantan FC merekodkan kekalahan terburuk dalam sejarah sejak penubuhan pasukan pada 1946 apabila dibelasah tanpa belas boleh Selangor FC 2-11 pada saingan aksi Liga Super.
Lebih memedihkan kekalahan itu berlaku di Stadium Sultan Muhammad IV, malah ia kali ketiga berturut-turut mereka dimalukan selepas dibelasah 0-8 oleh Terengganu FC (9 Ogos), diikuti Johor Darul Ta’zim (JDT) 10-0 pada Piala Malaysia, Sabtu lalu.
Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darulnaim (Kelate.Net) Mohd. Nurul Yusoh berkata, beliau meletakkan kesalahan penuh kepada pihak pengurusan yang mengambil mudah beberapa perkara sehingga meninggalkan impak negatif kepada pasukan.
Dia hilang kata-kata melihat prestasi TRW ketika ini, apatah lagi memikirkan mereka yang pernah bergelar ‘gergasi’ bola sepak tempatan kini menjadi ‘lubuk’ mata dan gol lawan.
“Sebelum keadaan menjadi parah, kami berpandangan moleklah kiranya pemilik melepaskan Kelantan FC secara terhormat.
“Sejujurnya…kami sudah ‘muak’ dengan alasan yang diberi tanpa memikirkan langkah penyelesaian,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Mohd. Nurul memberitahu, TRW adalah ‘jiwa’ seluruh rakyat negeri itu dan perlu diberikan perhatian oleh pemilik.
Sementara itu Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors (TRWKB) Mohd. Zainy Zain juga mahu pemilik menjual Kelantan FC selepas terbukti gagal dalam menguruskan pasukan.
Katanya, tindakan menjual pasukan dilihat mampu menyelamatkan semula maruah Kelantan FC yang kini dilabel sebagai ‘skuad belasahan’.
“Kalau tidak mampu undurlah secara terhormat, berilah peluang kepada orang lain yang lebih mampu. Saya lihat jika keadaan ini berterusan, nilai TRW akan terus jatuh menjunam dengan lebih.
“Saya jangka nilai pasaran TRW ketika ini berpandukan prestasi sekitar RM1.5 juta sahaja. Itu pun sudah dikira terlalu tinggi dengan beban hutang dihadapi pasukan ketika ini,” ujarnya.