KOTA BHARU: Pengendali Kelantan FC, Angel Alfredo Vera mengakui, barisan pemain mereka terlalu muda, tidak berpengalaman dan belum cukup bersedia untuk bermain di pentas profesional seperti Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Selepas kekalahan besar 2-11 di tangan Selangor FC dalam aksi Liga Super malam tadi, Vera mengakui The Red Warriors (TRW) tidak mempunyai pemain yang mampu menguasai permainan.
“Mereka (pemain Kelantan) terlalu muda, tidak berpengalaman serta baru merasai lima perlawanan di pentas Liga Super. Tentu amat susah untuk pemain-pemain muda masuk ke padang dan terus perlu tahu apa harus dilakukan.
“Sebelum ini mereka hanya berdepan lawan seusia tetapi kini mereka terpaksa berdepan lawan yang lebih kuat dan berpengalaman termasuk pemain-pemain import,” katanya.
Jurulatih dari Argentina itu mengakui, skuad muda TRW pasti gugup apabila berada dalam situasi berkenaan dan ia sesuatu yang normal ketika pemain-pemain baru menjejakkan kaki ke pentas bola sepak profesional seperti Liga Super.
Katanya, tiada keseimbangan dalam skuad Kelantan FC untuk penggiliran serta pertukaran pemain semasa perlawanan dan malah ada pemain terpaksa dipersiapkan untuk bermain di posisi yang bukan menjadi posisi asal mereka.
“Ringo (Natanael Siringo Ringo) juga terpaksa bermain di posisi penyerang kerana ketiadaan pemain utama di posisi penting itu. Jika seorang atau dua pemain cedera semasa perlawanan juga sudah meletakkan kita dalam situasi yang berat,” katanya.
Ditanya bagaimana beliau menghadapi situasi tersebut, Vera menyatakan ia adalah pengalaman baharu kerana ini kali pertama beliau berdepan situasi sebegini di sepanjang karier kejurulatihannya.
Menurutnya, tiada ruang masa untuk beliau benar-benar mempersiapkan pasukan apabila terpaksa bersedia menghadapi perlawanan sebenar sebaik sahaja melaporkan diri sebagai Ketua Jurulatih baharu Kelantan FC pada bulan Jun lalu.
“Malah ada beberapa pemain yang baru sehari atau dua hari melaporkan diri terus diturunkan dalam perlawanan sebenar sedangkan saya sendiri belum tahu gaya permainan dan tahap kebolehannya. Ini tidak normal dalam bola sepak.
“Saya bukan mahu membela diri kerana saya juga pasti ada melakukan kesilapan, tetapi pemain-pemain tidak salah kerana mereka telah berusaha dan bermain sepenuh hati demi membawa kebanggaan kepada nama negeri serta pasukan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE