Pemain sudah kembali pamer karakter hebat - Nafuzi

Pemain sudah kembali pamer karakter hebat

PEMAIN Kedah meraikan jaringan Ifedayo Olusegun (tengah, bawah) ketika menentang Sri Pahang dalam aksi Liga Super semalam. - IHSAN KEDAH DARUL AMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Nafuzi Zain menyifatkan anak-anak buahnya berjaya menampilkan karakter sebenar yang diperlukan oleh sebuah pasukan ketika menundukkan Sri Pahang FC 2-0 di laman sendiri semalam.

Menurut pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), karakter ditampilkan mereka jauh berbeza berbanding ketika pasukan bimbingannya itu tunduk 3-1 kepada Perak FC di Ipoh, minggu lalu.

“Saya lihat malam ini kita bermain dengan karakter dan mentaliti berbeza, para pemain amat menyedari kepentingan bermain baik bertemu Sri Pahang. Pasukan lawan dikenali memiliki pemain berkualiti dan mata diperolehi mereka juga sama dengan kita sebelum perlawanan bermula dan perkara-perkara sebegitu membangkitkan karakter diperlukan dalam diri pemain.

“Karakter yang saya maksudkan adalah dari aspek kerja keras, intensiti serta kemahuan ditunjukkan pemain. Mereka tidak lagi menampilkan aksi seperti sebelum ini yang terlalu membuka ruang hingga memudahkan kerja lawan.

“Sebenarnya kami membuat persediaan seperti biasa tetapi karakter ini hadir dari dalam pemain itu sendiri. Perkara itu hadir apabila seluruh fokus diletakkan kepada perlawanan dan diterjemahkan di atas padang,” katanya dalam sidang akhbar selepas berakhir perlawanan tersebut.

J. Partiban membuka akaun jaringan bersama Kedah. – IHSAN KEDAH DARUL AMAN

Dalam perlawanan itu, KDA FC jelas mengatasi Tok Gajah dari segala aspek dengan dua gol mereka dihasilkan oleh Ifedayo Olusegun serta J. Partiban pada minit ketiga dan 41.

Sementara itu Nafuzi berkata, persoalan mengenai keupayaan KDA FC untuk mengatasi Selangor FC bagi berada di kedudukan kedua liga selepas ini, bergantung kepada kehendak dan usaha para pemain sendiri untuk membaiki segala kelemahan yang ada.

“Sekarang ini masih ada lapan perlawanan perlu dilalui dan kalau menang semua itu, mungkin tempat kedua akan menjadi milik kami.

“Apatah lagi Selangor sudah melalui 20 perlawanan sedangkan kami cuma 19. Jadi peluang itu ada cumanya ada cabaran besar perlu dilalui kerana lawan kami selepas ini melibatkan pasukan-pasukan kuat seperti JDT, Kuala Lumpur dan Penang FC,” katanya.

Selain katanya, beberapa kelemahan terutamanya di barisan pertahanan perlu dibaiki bagi memastikan Sang Kenari terus mampu mencatat kemenangan selepas ini.

“Kita bertahan dengan baik dalam kebanyakan masa namun dalam sesetengah keadaan pula, ada masanya barisan pertahan kita tampak agak longgar. Jika kita mahu pergi jauh dan berhasrat untuk kekal di kedudukan teratas, perkara ini perlu diberi perhatian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN