PETALING JAYA: Wira skuad skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Fergus Tierney yang menghasilkan dua gol ketika menang 2-1 ke atas Indonesia mendedahkan E. Elavarasan sudah merancang untuk menggunakannya sebagai supersub.
Dalam aksi pembukaan Kumpulan B Kejohanan AFF B-23 menentang Indonesia semalam, skuad negara tampil yang kurang menyakinkan di separuh masa pertama dengan kesilapan mudah dan memberi ruang buat lawan untuk cuba mencipta peluang.
Situasi itu jelas terbukti sehinggakan Indonesia B-23 berjaya merobek jaring gol Malaysia pada minit ke-28 menerusi penyerang berbisa mereka, Ramadhan Sananta selain turut dilihat menguasai perlawanan pada babak pertama.
Menyedari kelemahan ketara skuad negara di posisi serangan, Elavarasan membuat percaturan dengan menukar beberapa pemain termasuk memasukkan Tierney untuk menambahkan impak di bahagian serangan agar lebih tajam.
Hasilnya, penyerang yang beraksi dengan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) itu berjaya meledak dua gol pada minit ke-54 dan 62 serta sekali gus memacu skuad kebangsaan B-23 mendapatkan kemenangan penting untuk mencerahkan peluang ke separuh akhir .
Menurut Tierney, sejak awal-awal lagi dia sudah menjangkakan bahawa pertembungan dengan Indonesia yang juga pemenang pingat emas di Sukan SEA Kemboja akan berlangsung sengit.
“Dari awal jika dilihat dalam peringkat kumpulan dengan melihat Indonesia dan Timor Leste kita sudah tahu ianya sesuatu sukar buat kami kerana kumpulan ini sangat kuat. Tetapi saya sentiasa percaya dengan rakan sepasukan.
“Hasilnya, kami berjaya memulakan cabaran dengan begitu baik dan menumpaskan Indonesia untuk mencerahkan peluang skuad negara dalam kejohanan kali ini,” katanya.
Selain itu kata Tierney, sebelum perlawanan bermula, Elavarasan juga sudah berpesan kepadanya agar bersedia kerana dia akan dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.
“Sebelum perlawanan bermula, jurulatih sudah berpesan kepada saya untuk sentiasa bersiap sedia untuk dibawa masuk pada separuh masa kedua dengan memberi impak dari bangku simpanan.
“Pada saya, ianya merupakan satu perancangan atau idea yang baik daripada beliau dan segalanya berjalan dengan lancar untuk perlawanan ini.
“Kita nak menang, terutama sekali untuk perlawanan kedua nanti kerana kami nak menang bagi memastikan kami turut menjuarai saingan kali ini,” tambah Tierney.
Format Kejohanan B-23 AFF menyaksikan tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik akan mara ke separuh akhir.