LONDON: Penyampai televisyen terkenal Britain, Rachel Riley mengancam untuk berhenti menyokong Manchester United jika gergasi Liga Perdana itu mengekalkan Mason Greenwood.
Sehingga ini, United tidak membuat sebarang keputusan tentang masa depan Greenwood yang masih menjadi isu dalaman.
Greenwood, 21, telah bebas daripada semua pertuduhan jenayah terhadapnya pada 2 Februari lalu kerana cubaan merogol dan menyerang kekasihnya.
“Saya tidak dapat menyokong United jika Greenwood kekal di kelab.
“Kita semua sudah cukup melihat dan mendengar. Berpura-pura akan menjadi sebahagian besar masalah.
“Ia akan memusnahkan kelab saya, harap mereka melakukan perkara yang betul,” tulis Riley di media sosial.

Pengumuman United mengenai Greenwood sepatutnya dibuat sebelum aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris, Isnin lalu tetapi ditangguhkan.
Dalam satu kenyataan kelmarin, United berkata, fasa pencarian fakta siasatan mereka kini telah selesai.
Keputusan mengenai masa depan Greenwood kini terletak kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Richard Arnold dan ia akan diputuskan dalam masa terdekat.
Difahamkan, Greenwood akan diberi beberapa peranan tetapi perdebatan hangat tentang penyerang itu membuatkan kelab menangguhkan segala keputusan.
United berkata, mereka telah mengumpul ‘bukti dan konteks yang luas bukan dalam domain awam’, selain mendapat pandangan pelbagai pihak.– AGENSI