ALOR SETAR: Kebangkitan yang dilakukan Kedah Darul Aman (KDA) di laman sendiri gagal menyelamatkan mereka daripada tersingkir pada Piala Malaysia 2023.
Kedah menang 2-1 dalam perlawanan kedua, pusingan 16 akhir malam ini, namun ditunjukkan jalan keluar secara agregat 3-4.
Jaringan Seo Seon-ung lima minit sebelum tamat permainan membawa Perak ke suku akhir selepas memanfaatkan kelebihan 3-1 yang dicatat dalam aksi pertama di Ipoh.
Kejayaan itu amat manis buat anak-anak buah Yusri Che Lah yang terpaksa bergelut untuk mempertahankan kelebihan dimiliki, setelah mereka kehilangan seorang pemain yang dilayangkan kad merah pada minit ke-54.
KDA FC mula mengatur serangan bagi mencari gol awal, namun pintu gol mereka terlebih dulu diuji Seon-ung pada minit ketujuh tetapi berjaya diselamatkan Kalamullah Al Hafiz yang merebahkan badannya ke kiri.
Pintu gol KDA bocor pada minit ke-12 apabila rembatan rendah seorang lagi pemain import Perak FC, Luka Milunovic gagal diselamatkan Kalimullah. Jaringan itu bagaimanapun tidak dikira kerana penyerang dari Serbia tersebut berada dalam kedudukan ofsaid.
Percubaan tepat pertama tuan rumah akhirnya hadir pada minit ke-22 menerusi sepakan percuma Manuel Hidalgo, bagaimanapun tindakan penjaga gol The Bos Gaurus, T. Shaheeswaran melayangkan badannya berjaya menyelamatkan keadaan.
Tekanan demi tekanan diberikan KDA FC akhirnya mendatangkan hasil pada minit ke-28 apabila hantaran lintang Amirbek Jurobaev dari sebelah kiri pintu gol terkena tangan pemain lawan menyebabkan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah.
Hidalgo yang diamanahkan untuk mengambil sepakan tersebut tidak mensia-siakan peluang apabila rembatan kaki kirinya menerjah jaring untuk gol pertama perlawanan.
Minit ke-45, Seon-ung berpeluang menyamakan kedudukan buat Perak apabila dia berada dalam kedudukan satu sama satu dengan Kalamullah. Percubaannya bagaimanapun terlalu lemah dan mudah diselamatkan Kalamullah.
Memasuki babak kedua, Perak terlebih dulu membuat asakan melalui rembatan leret bekas pemain kebangsaan, Wan Zack Haikal pada minit-51. Percubaan itu bagimanapun berjaya dipatahkan Kalamullah yang merebahkan badan ke kanan.
Pasukan pelawat kemudiannya terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Khairul Asyraf Ramli yang baru dibawa masuk dilayangkan kad merah kerana membuat terjahan keras terhadap Amirbek pada minit ke-54.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh KDA FC bagi merancakkan serangan dengan memasukkan Jonathan Balotelli untuk menggantikan Amirbek yang cedera.
Asakan bertali arus dilakukan anak-anak buah Nafuzi Zain akhirnya berhasil apabila rembatan jarak jauh dilakukan pemain pertahanan Akmal Dzahir terkena kaki Kapten Perak FC, Luciano Guaycochea untuk gol kedua Sang Kenari pada minit-82.
Kegembiraan penyokong KDA tidak bertahan lama apabila kegagalan Kalamullah mendakap kemas bola sepakan percuma Che Mohamad Suhairi Che Halim membolehkan Seonung melakukan tandukan untuk menghasilkan gol buat pasukan pelawat pada minit ke-85.
KDA FC cuba menambah jaringan melalui percubaan dilakukan penyerang utama mereka, Ifedayo Olusegun seminit kemudian.
Rembatan leret pemain dari Nigeria itu sekadar singgah di tiang gol sebelah kiri Perak FC sekali gus menjadikan keputusan kekal 2-1 dalam perlawanan itu, untuk agregat 4-3 menyebelahi Perak. – UTUSAN ONLINE