SYDNEY: Dengan ketiadaan juara empat kali, Amerika Syarikat (AS), suku akhir Piala Dunia Wanita kali ini paling terbuka dalam sejarah.
Colombia dan Perancis menjadi dua pasukan terakhir meraih tiket suku akhir kelmarin, menyertai Sepanyol, Belanda, Jepun, Sweden, Australia serta England.
Begitupun turun sebagai satu-satunya bekas juara yang kekal bersaing meletakkan Jepun sebagai pilihan merangkul trofi kedua sejak 2011.
Selepas tersingkir di peringkat 16 akhir empat tahun lalu, skuad Nadeshiko tampil dengan prestasi meyakinkan.
Mereka mengalahkan Norway 3-1 untuk ke suku akhir dan akan berdepan Sweden dalam aksi lapan terbaik hari ini.
Hinata Miyazawa, 23, yang mengetuai calon kasut emas dengan meledak lima gol setakat ini akan menjadi senjata utama Jepun di Auckland.
“Sejujurnya saya tidak mesangka boleh menjaringkan gol sebanyak ini,” kata Hinata.
Hinata hanya menjaringkan empat gol dalam lebih 20 penampilan untuk negaranya.
Prestasinya kali ini amat mengejutkan kerana dia hanya menjaringkan empat gol dalam 39 penampilan untuk kelabnya MyNavi Sendai dalam liga domestik sepanjang dua musim.
Biarpun sering digambarkan sebagai pemain tengah tetapi Dan Orlowitz, wartawan sukan The Japan Times berkata, jurulatih Jepun, Futoshi Ikeda telah menemui cara untuk mendapatkan gol daripadanya berkat sistem 3-4-3.
“Sistem Futoshi menyaksikan permainan Jepun tersusun dengan sangat baik di bahagian belakang sehingga mereka dapat mengatur Hinata dengan bagus,” kata Orlowitz kepada AFP.